Kerajaan telah bersetuju supaya jumlah pengambilan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan ditingkatkan 100 peratus kepada 200,000 bagi menambah golongan profesional Melayu di negara ini.

Ketika menegaskan demikian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata UiTM yang mempunyai 13 kampus, termasuk kampus induknya di Shah Alam.

Menurutnya, penambahan jumlah pengambilan pelajar UiTM tersebut boleh dilakukan secepat mungkin atau dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno hari ini, Najib berkata, kerajaan juga akan menambah dua buah kampus UiTM di setiap negeri bagi menampung peningkatan sekali ganda pelajar universiti tersebut.

Mengenai isu meritokrasi juga turut dibangkitkan oleh perwakilan di perhimpunan kali ini, Najib berkata, berdasarkan perangkaan 2005 bagi kemasukan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan jumlah pelajar bumiputra melebihi pelajar bukan bumiputra dalam kursus-kursus kritikal.

Menurut perangkaan tersebut, bagi kursus perubatan, pelajar bumiputra berjumlah 59.7 peratus, pergigian 60.5 peratus, kejuruteraan elektronik 65.6 peratus, kejuruteraan kimia 56.1 peratus, kejuruteraan mekanikal 62.5 peratus dan ekonomi 51.8 peratus.

Hanya kursus farmasi dan perakaunan, katanya, pelajar bumiputera kurang, iaitu 47.5 peratus (farmasi) dan 42.56 peratus (perakaunan).

"Kerajaan akan pastikan kedudukan Melayu dalam kursus kritikal tidak merosot dan akan melakukan tindakan tertentu untuk memastikan tahap orang Melayu dalam kursus kritikal mencapai kedudukan yang boleh diterima orang Melayu," katanya.

Pendekatan baru

Dalam ucapan penggulungan itu itu, Najib turut menyentuh isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), antara topik hangat di perhimpunan kali.

Menurutnya, sejak ditubuhkan PTPTN telah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM8.5 bilion untuk membiayai 635,468 pelajar di IPTA dan IPTS.

Manakala pembayaran balik sehingga 31 Mei lalu berjumlah RM124 juta, berbanding jumlah yang sepatutnya dibayar balik sebanyak RM424 juta

Menurut Najib lagi, PTPTN sedang bekerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bantuan majikan untuk melaksanakan potongan gaji pemimjam.

"Satu lagi pendekatan yang akan diambil ialah pelajar yang baru menamatkan pengajian akan dihantar surat ucapan tahniah oleh Menteri Pengajian Tinggi, tetapi dalam surat itu, mereka diingatkan supaya membayar balik pinjaman," katanya.

Mengenai cadangan perwakilan dari Kedah supaya PTPTN mendapatkan kerjasama bank bagi membantu kutipan balik pinjaman, Najib berkata, setakat ini, pihak bank tidak berminat kerana melibatkan banyak kerja yang rumit.