Pembangkang gagal 'denda' Pak Lah
Usaha pembangkang untuk mengusulkan 'denda' kepada Menteri Dalam Negeri dengan dakwaan gagal menjalankan tugas ditolak oleh Dewan Rakyat petang ini melalui 'undian suara.'
Suara yang menolak usul di bawah peraturan mesyuarat 66 (9) itu lebih kuat daripada suara yang menyokongnya. Usul ini bertujuan sebagai kritikan terhadap seseorang wakil dewan dan menteri yang dilihat gagal menjalankan tugas dengan sempurna.
Ketika mengemukakan usul itu, Mohamad Sabu (PAS-Kuala Kedah) antaranya mencadangkan "belanjawan itu akan disokong dengan syarat dewan mengurangkan RM10 masing-masing daripada perbelanjaan yang diperuntukkan kepada gaji Menteri Dalam Negeri."
Beliau mengemukakan usul itu pagi ini ketika dewan membahaskan Belanjawan 2001 bagi kementerian berkenaan. Dalam usulnya, pemimpin pembangkang itu menimbulkan isu keganasan polis semasa menyuraikan perhimpunan di Lebuhraya Kesas pada 5 November lalu. [[#1]124 bebas, seorang dijamin RM700[/#], 10 Nov]
Mohamad juga menyebutkan kegagalan menteri berkenaan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memberikan jaminan kebebasan akhbar apabila menutup majalah Detik dan Al-Wasilah serta gagal memberikan permit kepada akhbar harian yang dipohon PAS Purnama tanpa sebarang alasan. [[#2]Kumpulan wartawan kecam KDN[/#], 21 nov]
Seramai sembilan anggota dewan mengambil bahagian dalam perbahasan itu, termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin dan Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Mohd Noor.
Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mempertahankan hak berhimpun dan menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) agar mereformasikan undang-undang yang menyekat kebebasan asas ini.
Bagaimanapun, Datuk Mohd Zin Mohamed (BN-Shah Alam) mendakwa pembangkang cuba memutar-belitkan isu keganasan polis dan menafikan menterinya cuba mempengaruhi pihak keselamatan.
Polis berada di bawah kuasa Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai, jelas wakil BN itu lagi.
Dr Syed Azman Syed Ahmad (PAS-Kuala Terengganu) pula menjelaskan perhimpunan seumpama itu sering diadakan kerana "kebangkitan rakyat akibat krisis kredibiliti" yang dialami oleh kerajaan sekarang.
'Menjual maruah negara'
Kemudiannya Datuk Ruhanie Ahmad (BN-Parit Sulong) mencelah, mempertikaikan maksud hak asasi yang disuarakan pembangkang.
"Apakah hak (itu) untuk mengadakan demonstrasi sahaja atau hak untuk hidup aman? Jangan lihat hak asasi (seperti diamalkan) di Amerika Syarikat," katanya.
Syed Azman juga menimbulkan isu kebebasan media. Katanya, selain kumpulan media bebas, wartawan media arus perdana juga menghantar memorandum kepada kerajaan mendesak pindaan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.
Beliau merujuk kempen yang berjaya mengumpulkan lebih 1,000 tandatangan yang dijalankan oleh sekumpulan wartawan akhbar harian selama dua tahun sejak 1999.
Timbalan Menteri Dalam Negeri bagaimanapun berhujah bahawa usul Mohamad Sabu itu "akan memalukan dan menghinakan" Abdullah, yang juga Timbalan Perdana Menteri, kerana "masalah yang dilakukan oleh rakyat yang tidak suka kepada kerajaan."
Isu ini juga, katanya, pernah dibahaskan oleh dewan itu apabila usul tergempar berjaya dibawa oleh Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) beberapa hari selepas perhimpunan aman di lebuhraya itu.
"(Pembangkang) tidak dapat tanduk, telinga pun mereka hendak pulas," kata Zainal Abidin, disambut tepukan gemuruh daripada penyokong kerajaan.
Seperti perbahasan awal bulan ini, Zainal juga menuduh pembangkang meminta pertolongan daripada pemimpin Amerika Syarikat, Naib Presiden Al Gore dan Setiausaha Negara Madeline Albright.
"Tetapi (pembangkang) tidak sedar bahawa mereka menjual maruah negara," tambahnya.
Kenyataan ini menyebabkan wakil Kuala Kedah menyampuk. "Ketika jadi pembangkang, (Zainal) bercakap lain. Ketika memerintah bercakap lain (pula)," kata Mohamad, sambil mendakwa bekas pemimpin Parti Semangat 46 itu tidak mempunyai kewibawaan.
Bagaimanapun Zainal berhujah balas dengan menggesa Mohamad berfikir bagaimana kira-kira 800 anggota polis cuba mengawal "orang yang tidak halal" - merujuk peserta perhimpunan yang tidak mendapat permit polis itu.
Abdul Fatah Harun (PAS-Rantau Panjang) pula mencelah, mempertikaikan bagaimana terdapat keganasan terhadap 26 tahanan seperti didedahkan oleh Pusat Bantuan Guaman, Majlis Peguam Malaysia dan juga kejadian seorang tahanan wanita, Norazimah Mohd Nor, dibogelkan.
Nada mengugut
Timbalan menteri itu dengan nada separuh mengugut menafikan pihak keselamatan berbuat sedemikian terhadap tahanan.
"Polis tidak mendera (tahanan) semasa dalam tahanan, apatah lagi suruh (tahanan) telanjang dan ketuk ketampi," kata Zainal. "Yang Berhormat (Kuala Kedah) jangan menyesal. Kalau Suhakam ada bukti, (dakwaan itu boleh diterima). Kalau tidak ada bukti, kita (polis) tidak akan bertolak ansur."
Jawaban umum ini dipertikaikan oleh Kerk Kim Hock (DAP-Kota Melaka) dan meminta Zainal menjawab dengan lebih khusus.
Zainal berhujah lagi, mempertahankan polis dengan mendakwa pasukan keselamatan sudah cukup bersabar sehingga sanggup menunggu lima jam sebelum menyuraikan kumpulan sekurang-kurangnya 10,000 penyokong pembangkang di lebuhraya itu.
Ketua Pembangkang pula mencelah, mempertikaikan tindakan polis menyerang dengan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia ketika orang ramai sedang bersurai. "Jika boleh bersabar sehingga lima jam, kenapa tidak tunggu setengah jam lagi untuk orang ramai bersurai?" katanya.
Zainal mendakwa waktu itu suasana semakin senja dan anggota polis perlu menunaikan sembahyang. "Usul (wakil PAS) ini tidak menyokong demokrasi dan keamanan. (Usul ini merupakan usaha) membenci pasukan polis," hujahnya.
Mohamad yang kurang senang jawapan itu bangun dan mempertikaikan kenyataan itu. "Siapa (wakil rakyat pembangkang) yang anti-polis? Anak saudara saya seorang anggota polis. Kawan-kawan saya juga ada yang bertugas sebagai polis..."
Suaranya tenggelam apabila mikrofon dimatikan oleh Speaker Dewan sejurus sebelum undian dijalankan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.