Kerajaan mengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya mengkaji perancangan kenaikan pangkat di kalangan kakitangan awam bagi menyekat kakitangan yang berprestasi tinggi daripada berpindah ke sektor swasta.

Ketika mengarahkan demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ramai kakitangan kerajaan terbaik kerajaan berbuat demikian kerana peluang untuk mereka maju ke tahap lebih tinggi dalam perkhidmatan awam adalah terhad dan lambat.

Beliau bimbang sekiranya perkhidmatan awam tidak mengubah pengurusan modal insannya, besar kemungkinan pekerja-pekerja yang terbaik direbut sektor swasta.

Beliau menegaskan demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Ke-IX Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Negeri dan Pelajaran, di Putrajaya. Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata, ramai pegawai muda yang berkobar-kobar bekerja, tetapi semangat itu kemudian hilang apabila melihat jalan kerjaya mereka terlalu lambat bergerak.

Oleh itu, katanya, antara langkah awal yang boleh dilaksana oleh SPA ialah mengisi mana-mana jawatan yang ditinggalkan kosong, dengan pegawai baru.

"Jawatan tidak perlu ditinggalkan kosong begitu lama, lebih-lebih lagi apabila beban tugas berat yang menunggu untuk dilaksana. Pegawai baru yang berkobar-kobar hendak bekerja, hendaklah cepat dihantar mengisi jawatan kosong berkenaan," katanya.

Pemilihan secara adil

Abdullah juga turut menekankan pentingnya SPA memilih kakitangan awam yang memenuhi ciri 3K kelulusan, keupayaan dan keperibadian.

"Ketiga-tiga syarat ini kritikal bagi memastikan mereka yang bekerja untuk perkhidmatan awam, dipercayai dan dihormati. Asas ini hendaklah menjadi teras keputusan dalam pemilihan calon," katanya.

Katanya, ini kerana, kelulusan akademik yang baik sahaja tidak menjamin pekerja yang berkualiti tanpa disertai kemahiran, sikap dan minat untuk berbakti kepada rakyat.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengingatkan SPA agar memastikan pemilihan calon yang layak untuk diserapkan ke dalam perkhidmatan awam dilakukan secara adil.

"Ujian psikologi, minat dan kemahiran adalah perlu bagi memilih calon serba-boleh, tetapi kriteria ujian-ujian tersebut mestilah diperjelaskan supaya tidak ada yang ragu dengan kesahihah ujian tersebut.

"Ujian-ujian tersebut hendaklah juga tidak terlalu membebankan calon dari segi kos atau masa kerana peningkatan sistem penyampaian kerajaan merangkumi setiap proses yang dijalankan perkhidmatan awam, termasuk proses pemilihan calon," katanya.