Takut tsunami berulang, 147 keluarga di Kota Kula Muda berpindah
Gara-gara bimbang tsunami berulang berikutan gempa bumi di Pulau Nicobar, Laut Andaman, hampir tengah malam tadi, 147 keluarga dari lima buah kampung di pesisir pantai Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, mengambil keputusan berpindah dari rumah masing-masing awal pagi ini.
Gara-gara bimbang tsunami berulang berikutan gempa bumi di Pulau Nicobar, Laut Andaman, hampir tengah malam tadi, 147 keluarga dari lima buah kampung di pesisir pantai Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, mengambil keputusan berpindah dari rumah masing-masing awal pagi ini.
"Kesemua mereka berpindah mulai jam 1.30 pagi ke pusat penempatan tsunami ini selain menumpang di rumah saudara-mara di sekitar Tikam Batu serta ada yang berteduh di gerai-gerai di pekan Kota Kuala Muda," kata Ketua Pusat Penempatan Tsunami di Kampung Permatang Katong, Mohamed Yusuf Awang, ketika ditemui Bernama awal hari ini.
Beliau berkata jumlah yang berpindah itu melibatkan 48 keluarga dari Kampung Kepala Jalan, 20 keluarga (Kampung Tepi Sungai), 60 keluarga (Kampung Masjid), lapan keluarga (Kampung Padang Salim) dan 11 keluarga (Kampung Hujung Matang).
Kebimbangan penduduk tercetus oleh berita yang disiarkan televisyen mengenai gempa bumi dengan kekuatan 7.0 pada skala Richter di Pulau Nicobar di Laut Andaman pada pukul 11.42 malam tadi.
Kampung-kampung terbabit adalah antara kawasan di negeri ini yang teruk dilanda ombak besar tsunami pada 26 Dis tahun lepas, yang meragut 10 nyawa dan mengakibatkan kemusnahan harta benda.
Tangkapan merosot
Tinjauan mendapati kesemua penduduk itu hanya pulang ke rumah masing-masing pagi ini setelah benar-benar yakin tsunami tidak akan berlaku.
Seorang penduduk dari Kampung Masjid, Nordin Said, 51, berkata beliau dan keluarganya berpindah kerana tidak mahu menanggung risiko serta masih trauma dengan kejadian tsunami lepas.
Seorang peraih ikan dari Kampung Padang Salim, Ramli Talib, 44, berkata beliau amat bimbang tusnami akan berulang kerana tangkapan ikan sejak tiga hari lepas merosot sama sekali dan itu dianggapnya sebagai petanda awal tsunami.
"Hasil tangkapan ikan melimpah sebelum berlakunya tsunami Disember lalu dan itu adalah petandanya. Jadi, apabila hasil tangkapan ikan merosot kali ini, saya takut itu juga petanda tsunami," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Law Hoong Soon ketika dihubungi berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk penduduk terbabit berpindah tetapi dipercayai mereka melakukannya kerana bimbang.
Di Langkawi, kebimbangan yang sama menyebabkan lapan keluarga dari Kampung Kuala Teriang, Padang Matsirat, turut berpindah ke rumah saudara-mara masing-masing.

