Habeas Corpus: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Nik Adli
Anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz dan empat yang lain yang dilanjutkan tahanan mereka di Kem Kemunting mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam Kumpulan Muhajiddin Malaysia (KMM) hari ini gagal dalam permohonan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak writ habeas corpus mereka.
Anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz dan empat yang lain yang dilanjutkan tahanan mereka di Kem Kemunting mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam Kumpulan Muhajiddin Malaysia (KMM) hari ini gagal dalam permohonan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak writ habeas corpus mereka.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk P.S.Gill yang mendengar rayuan itu bersama-sama Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff dan Datuk S.Augustine Paul, menolak permohonan Nik Adli, Zainon Ismail, Solehan Abdul Ghafar, Alias Ngah dan Mohamed Lotfi Ariffin itu.
Pada 1 September 2004, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk K.N.Segara menolak permohonan writ habeas corpus mereka atas asalan, perintah yang dikeluarkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh tahanan dibuat mengikut undang-undang dan prosedur yang betul.
"Terima kasih atas hujahan yang menyakinkan. Namun, kami tidak bersama anda dan rayuan anda ditolak," kata Hakim Gill.
Menurut laporan Bernama, dalam permohonan mereka, kelima-limanya mendakwa Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah melanjutkan tempoh tahanan mereka tanpa alasan yang kukuh.
Mereka yang diwakili peguam Edmund Bon dan Amir Hamzah Arshad, menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Kem Kemunting dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bon sebelum itu berhujah bahawa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri gagal mengambil kira perkara relevan ketika melanjutkan perintah itu.
Beliau juga menegaskan bahawa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri juga tersilap dalam fakta dan undang-undang semasa menandatangani perintah tahanan, iaitu melakukannya tanpa cadangan daripada jawatankuasa Lembaga Penilaian ISA.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Mohamed Hanapiah Zakaria yang mewakili responden-responden, berhujah bahawa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri merupakan pihak yang memutuskan untuk melanjutkan perintah dan bukan jawatankuasa Lembaga Penilaian ISA kerana jawatankuasa itu hanya dalam bentuk pentadbiran.
"Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengambil tindakan yang tepat kerana hakikatnya Nik Adli memang terbabit dalam aktiviti KMM, malah mengetuai KMM yang mempengaruhi dan memberi arahan kepada yang lain," kata Mohamed Hanapiah.

