Dr Mahathir ada sidang akhbar tergempar berhubung kes Mahaleel
Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang akhbar tergempar pagi ini berhubung keputusan syarikat kereta nasional itu untuk tidak membaharui kontrak Tengku Mahaleel Tengku Ariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd. (Proton).
Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang akhbar tergempar pagi ini berhubung keputusan syarikat kereta nasional itu untuk tidak membaharui kontrak Tengku Mahaleel Tengku Ariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd. (Proton).
Proton mengumumkan semalam bahawa Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang mencetus kontroversi apabila mempertikai dasar automotif kerajaan baru-baru ini bercuti serta-merta sehingga 30 September depan.
Berikutan itu, Datuk Kisai Rahmat (yang ketika ini memegang jawatan Pengarah Operasi dan Datuk Kamarulzaman Darus (Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Tanjung Malim Sdn Bhd), dilantik sebagai ketua pegawai operasi bersama Proton Holdings berkuatkuasa esok untuk menguruskan Proton.
Pelantikan Kisai dan Kamarulzaman, kata Proton adalah bagi membolehkan peralihan yang lancar dan kesinambungan operasi. Lembaga Pengarah Proton membuat keputusan itu dalam satu mesyuarat pada awal hari ini.
Proton, semasa mengumumkan perkara itu bagaimanapun berkata perubahan dalam jawatan-jawatan tersebut bukan berkaitan individu tetapi kemajuan syarikat untuk berdepan dengan perubahan realiti yang sering berubah-ubah dan dunia industri automotif yang dinamik.
Menurut Bernama , ia berkata Proton merupakan "aset nasional, institusi yang pelbagai jenis dan bukan satu entiti swasta."
Meskipun ia berkembang pesat sejak 20 tahun lalu menerajui pasaran domestik," namun, di peringkat global dan antarabangsa perjalanannya masih lagi jauh,"katanya.
Proton berkata ia masih dan tetap menumpukan untuk menjadi syarikat global yang terkemuka dan mapan.
Penghargaan pada Mahaleel
Tengku Mahaleel, 59, akan bercuti berkuatkuasa serta merta sehingga akhir tempoh perkhidmatannya pada 30 Sept tahun ini, kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, di sini.
"Kami dengan itu melahirkan penghargaan kepada Y.M. Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Ariff di atas sumbangannya sepanjang perkhidmatannya dengan Kumpulan Proton. Kami mendoakan kejayaannya di masa depan dalam apa juga pekerjaan yang dilakukannya," kata pengeluar kereta nasional itu.
Tengku Mahaleel menyertai Kumpulan Proton sebagai Naib Pengerusi, Strategi dan Operasi pada 1996.
Pada April 1997, beliau dilantik sebagai CEO Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd dan kemudiannya sebagai CEO Kumpulan Proton Holdings.
Sebelum menyertai Proton, beliau merupakan naib presiden Kumpulan Syarikat Mofaz, pengarah bukan eksekutif bebas Nestle Malaysia, dan pengarah urusan kumpulan New Toyo Group.
Sebelum 1995, Tengku Mahaleel telah berkhidmat bersama Shell Malaysia selama hampir 20 tahun. Jawatan terakhir beliau dengan syarikat minyak dan gas itu adalah Pengurus Pemasaran Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd.
Mengenai Kisai dan Kamarulzaman, Proton berkata kedua-duanya mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri automotif dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti teknikal dan pengurusan dalam Kumpulan Proton.
Pengalaman luas
Kedua-duanya juga merupakan jurutera mahir dan akan menguruskan bersama operasi dan pengurusan harian Kumpulan Proton.
"Memandang pengalaman luas mereka dan pengetahuan yang baik dengan Kumpulan Proton, lembaga yakin kedua-dua mereka akan mampu menerajui pasukan pengurusan dan kakitangan untuk mara kehadapan dan operasi kumpulan akan berjalan seperti biasa," kata Proton.
Untuk memudahkan peralihan dan sebagai langkah sementara, Lembaga Proton juga memutuskan untuk membentuk Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan (Exco Kumpulan), merangkumi empat anggota dengan dua wakil daripada kalangan anggota Lembaga Proton dan dua wakil pengurusan kanan.
Mereka adalah Datuk Mohammed Azlan Hashim (pengerusi), Badrul Feisal Abdul Rahim (anggota), Kisai (ketua pegawai operasi bersama) Kamarulzaman (ketua pegawai operasi bersama).
Exco Kumpulan itu akan diberi semua kuasa dan autoriti CEO Kumpulan berkaitan dengan membuat keputusan bagi Proton dan kumpulannya berkuatkuasa 26 Julai 2005.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.