Mahaleel enggan sambung kontrak kerana diturun pangkat
Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan bahawa kontrak Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Proton Holdings Bhd tidak diperbaharui kerana beliau tidak bersetuju dengan syarat dalam kontrak barunya untuk tempoh dua tahun lagi.
Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan bahawa kontrak Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Proton Holdings Bhd tidak diperbaharui kerana beliau tidak bersetuju dengan syarat dalam kontrak barunya untuk tempoh dua tahun lagi.
Menurut bekas Perdana Menteri, Tengku Mahaleel merasakan syarat-syarat tersebut tidak memuaskan berbanding syaratnya sendiri.
Dr Mahathir juga berkata beliau tidak terperanjat dengan keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah pembuat kereta nasional itu.
Tengku Mahaleel, yang menyertai Proton pada 1996 dan dilantik sebagai CEO pada 1 April, 1997, enggan menandatangani kontrak itu kerana beliau mendakwa syarat-syaratnya adalah "inferior" berbanding syarat beliau sendiri, kata bekas perdana menteri itu.
"Nampaknya, tidak ada kesediaan untuk mempertimbangkan pandangan (Tengku) Mahaleel, jadi beliau enggan menandatangani (kontrak itu) dan pihak lembaga pengarah mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui kontraknya," jelas Dr Mahathir pada satu sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan lembaga pengarah Proton pada mesyuarat mereka yang dipengerusikan oleh Datuk Mohammed Azlan semalam untuk menyingkirkan Tengku Mahaleel.
Tengku Mahaleel bercuti mulai hari ini dan akan bersara pada 30 Sept tahun ini.
Diturun pangkat
Datuk Kisai Rahmat, kini Pengarah Operasi, dan Datuk Kamarulzaman Darus, kini CEO Proton Tanjung Malim Sdn Bhd, telah dilantik sebagai ketua pegawai operasi Proton Holdings berkuatkuasa mulai hari ini.
Dr Mahathir juga berkata, kebolehan Tengku Mahaleel mengendalikan Proton terkongkong apabila beliau disingkirkan daripada jawatan pengerusi anak-anak syarikat utama Proton.
Beliau telah diturunkan pangkat kepada pengarah biasa, manakala jawatan pengerusi anak-anak syarikat itu diambil alih oleh pengerusi syarikat pegangan itu.
Ditanya mengenai senario automotif di seluruh dunia apabila CEO syarikat-syarikat besar kereta dipecat disebabkan syarikat berkenaan gagal, beliau berkata: "Tetapi saya tidak tahu sama ada (Tengku) Mahaleel telah gagal"
"Di bawah (Tengku) Mahaleel, Proton mencatat keuntungan dengan wang terkumpul berjumlah lebih RM4 bilion, malah Proton telah menggunakan RM1.8 bilion untuk membina kilang di Tanjung Malim tanpa meminjam dari luar dan tanpa meminta bantuan kerajaan.
"Saya tak tahulah kalau-kalau itu dianggap sebagai kegagalan," kata Dr Mahathir.
"Saya pasti Proton akan lebih maju lagi dengan pengurusan baru," katanya.
Beralih kepada kontroversi berhubung permit import kenderaan (AP), Dr Mahathir berkata beliau akan "membuat kenyataan bertulis untuk semua pihak supaya tidak berlaku salah tafsir."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.