S'gor mahu tambah baik pelan tebatan banjir SUKE
Exco yang berbertanggungjawab terhadap Infrastruktur dan kemudahan awam, Zaidy Abdul Talib berkata kerajaan Selangor puas hati dengan pelan tebatan banjir yang dikemukakan oleh kontraktor Lebuhraya Sungai Besi - Ulu Kelang (SUKE) selepas satu kejadian banjir bulan lepas.
"Lawatan ke lokasi projek Lebuhraya SUKE di Taman Bukit Teratai Ampang , Kerajaan negeri Selangor berpuas hati dengan perancangan mitigasi yang kemukakan, juga pembinaan saliran yang telah diperbesarkan
"Bagaimanapun, kerajaan Selangor masih tidak berpuas hati pada reka bentuk dan penyelenggaraan kolam takungan dan perangkap lumpur.
"Maka kerajaan Selangor mengarahkan kerja -kerja penambahbaikan perlu dilakukan dengan kadar segera," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada bulan April, penduduk Taman Bukit Teratai mengadu kawasan mereka dilanda dua kejadian banjir dalam tempoh dua bulan selepas hujan lebat.
Mereka mendakwa ia tidak pernah berlaku sehinggalah pembinaan SUKE bermula.
Menurut Zaidy, banjir itu berlaku ekoran kegagalan kontraktor SUKE mematuhi langkah-langkah tebatan banjir seperti yang digariskan oleh kerajaan negeri.
Zaidy berkata lawatan terbaru kerajaan negeri ke tapak tersebut pada 15 Mei, untuk memastikan kerja kerja yang dilakukan mengikuti syarat -syarat pembangunan yang telah ditetapkan.
Ia juga, tambanhya, untuk menilai langkah langkah penambahbaikan yang dilakukan, susulan berlaku kejadian banjir lumpur dari kawasan projek yang menjelaskan penduduk di sekitar.
Exco itu berkata beliau juga telah melawat tapak projek Lebuhraya EKVE di sekitar Felda Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.
Zaidy berkata kerajaan Selangor berpuas hati dengan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan yang telah diambil untuk mengatasi kejadian banjir lumpur.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan sentiasa mengadakan lawatan ke tapak berkenaan untuk memastikan pematuhannya.

