Pelajar ditahan ISA dibuang jika bersalah - Mara
Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan menyingkir pelajar di bawah institusi pendidikannya kecuali selepas mereka terbukti terlibat dengan kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang.
"Kita (Mara) hanya mengenakan tindakan kepada pelajar yang terbukti bersalah," kata Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Datuk Zakiah Hashim kepada malaysiakini , mengulas tangkapan seorang pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) minggu lalu.
Selain Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, polis juga menahan pemimpin pelajar Universiti Malaya, Mohamad Fuad Mohd Ikhwan di bawah akta itu.
Menurut Zakiah, Mara memandang serius pelajar yang terbabit dengan kegiatan antikerajaan.
"Mara tidak akan mengambil pelajar (yang didapati bersalah) dan tidak akan berkompromi (dengan mereka)," kata Zakiah, mengulangi pendirian Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
"Kita beri peluang untuk pelajar itu membela diri tetapi jika pelajar itu terbukti bersalah, maka tindakan akan dikenakan," tambah Zakiah, selepas sidang media mengenai kadar baru tambang bas sekolah di kementerian tersebut petang tadi.
Sebelum itu, Zakiah mengumumkan kadar kenaikan 10 peratus tambang bas sekolah yang berkuatkuasa mulai 15 September depan.
Bagaimanapun, menurutnya kadar baru itu hanya akan dilaksanakan di Semenanjung.
"Bagi Sabah dan Sarawak, kenaikan kadar tambang bas itu akan dikuatkuasakan pada tarikh yang akan diumumkan kelak," katanya.
Kenaikan kadar tambang bas sekolah yang terakhir dilaksanakan pada April 1996. Persatuan Pengusaha Bas Sekolah memohon kenaikan sebanyak 25 peratus.
Kenaikan baru itu adalah RM1.60 daripada RM16 bagi bandar-bandar utama di semua negeri di Pantai Barat kecuali Kedah dan Perlis. Sementara kawasan-kawasan lain tambang dinaikkan RM1.20 daripada RM12.
Selain itu, berkuatkuasa 1 November depan, semua pengusaha bas sekolah diwajibkan menulis perkataan "saya pemandu berhemah dan terlatih, sebarang aduan sila hubungi... (nama, nombor telefon pengusaha bas atau alamat e-mel webmaster@kpun.gov.my )" di bahagian belakang bas masing-masing sebagai satu ciri keselamatan tambahan.

