Pemilik Flat Pekeliling di ibu negara enggan berpindah selagi tidak mendapat surat rasmi dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengosongkan rumah mereka sebelum September ini.

Wakil penduduk, S. Manikavagam berkata, 415 pemilik terbabit kini dalam keadaan serba-salah kerana tempoh untuk mereka berpindah hanya tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi.

Menurutnya, penghuni juga tidak tahu keadaan sebenar kedudukan mereka kerana Flat Pekeliling terlibat dengan projek pembangunan perniagaan dan pembinaan pangsapuri kos rendah.

Katanya, DBKL juga tidak menjawab beberapa tuntutan mereka, termasuk pembayaran pampasan yang lebih tinggi dan pengecualian membayar sewa selama tiga tahun apabila mereka berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Setapak.

"DBKL mahu membayar pampasan RM42,000 tetapi pemilik meminta pampasan lebih tinggi sesuai dengan pasaran semasa. Mereka juga mahu dikecualikan daripada membayar sewa rumah di Setapak selama tiga tahun," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata DBKL tetap mahu membayar RM42,000 kepada pemilik terbabit dan juga dikehendaki membayar sewa RM124 sebulan di flat Setapak.

Manikavasagam berkata, ada kumpulan tertentu daripada 415 pemilik terbabit yang bercadang mengambil tindakan mahkamah jika DBKL gagal memenuhi tuntutan mereka itu.

Menurutnya, keadaan menjadi bertambah rumit apabila beberapa pihak, termasuk parti politik cuba campurtangan untuk mencari pengaruh di kalangan penduduk terbabit.

OKU pindah ke Sentul

"Sesetengah pemilik Flat Pekeliling juga membuat tuntutan untuk membeli pangsapuri kos rendah yang bakal dibina di PPR Setapak, tetapi DBKL belum memberi jawapan," katanya lagi.

Seorang penduduk, Sahmar Saat berkata, pemilik Flat Pekeliling kini berpecah kepada beberapa kumpulan kerana tidak puas hati dengan urusan pemindahan ke flat Setapak.

Sepatutnya, kata beliau, DBKL bertindak menyelesaikan segera masalah tersebut, terutama yang membabitkan pemilik rumah serta mengambikira kerugian yang ditanggung mereka apabila berpindah ke PPR Setapak.

Beliau yang juga wakil Orang Kurang Upaya (OKU) Flat Pekeliling, berkata DBKL telah setuju untuk menempatkan 29 keluarga OKU ke PPR di Bandar Baru Sentul.

Ini berikutan rayuan keluarga OKU tersebut supaya dipindahkan ke PPR Setapak kerana kurang kemudahan pengangkutan, sedangkan mereka bekerja di kawasan Chow Kit.

"DBKL juga memberi unit di tingkat bawah bagi memudahkan mereka bergerak selain memastikan keselamatan mereka. Kadar sewanya dikurangkan daripada RM124 kepada RM86 sebulan," katanya.

Shahmar berkata, dalam perjumpaan dengan Jabatan Perumahan DBKL bulan lalu, keluarga OKU meminta mereka diberi rumah di tingkat lima ke bawah di PPR Bandar Baru Sentul untuk keselesaan dan keselamatan mereka..

Katanya, sebahagian penyewa lain sudahpun mula berpindah ke PPR Setapak sejak bulan lalu manakala bakinya dijangka berbuat demikian selewat-lewatnya sebulan bulan September ini.