Isu DEB: Pemuda Umno dakwa Chua menangguh di air keruh
Pergerakan Pemuda Umno menyifatkan tindakan Naib Presiden MCA Datuk Chua Jui Meng mempertikaikan usaha pergerakan itu menghidupkan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai cuba mencari "populariti murahan" menjelang pemilihan MCA.
Pengerusi Biro Ekonomi pergerakan itu Reezal Merican berkata kenyataan Chua juga jelas menunjukkan bahawa beliau tidak berfikiran matang dan cuba "menangguk di air keruh".
Chua, yang juga bekas Menteri Kesihatan, akan mencabar Datuk Seri Ong Ka Ting untuk jawatan Presiden MCA dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Dalam kenyataannya kelmarin, Chua menyifatkan syor Pemuda Umno di perhimpunan parti minggu lalu supaya semangat DEB dihidupkan semula dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai langkah ke belakang.
Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Reezal berkata sebagai orang lama dalam kerangka semangat dan gerak kerja Barisan Nasional (BN), sikap dan pendirian Chua tidak memperlihatkan kematangan yang sewajarnya.
"Kita kesal kerana sebagai orang lama dan banyak pengalaman bekerja di bawah kerangka semangat BN beliau masih cuba untuk bermain dengan isu seperti ini bagi mencari populariti murahan," katanya.
Menurut laporan Bernama, Reezal berkata, tindakan Chua juga memperlihatkan sifat tidak matang dan cepat melatah beliau yang tidak seharusnya ada sebagai pemimpin kanan salah sebuah parti komponen yang dihormati oleh kaum Cina.
Reezal berkata Biro Ekonomi kesal dan pihaknya tidak nampak di mana keperluannya kepimpinan kanan MCA mempunyai sikap curiga dan gusar dengan ketetapan perhimpunan agung Umno yang mahu menghidupkan semula DEB.
Beliau berkata pembugaran semangat dan agenda DEB tidak harus dilihat sebagai langkah ke belakang kerana proses memperkasakan ekonomi orang Melayu merupakan agenda nasional, seiring dengan semangat DEB yang telah dipersetujui oleh semua bangsa dan pemimpin parti komponen yang lain.

