Paling Popular
Terkini

ULASAN | Menjelang pilihan raya umum ke 14 (PRU14), rakyat Malaysia seharusnya perlu lebih berhati-hati menilai pelbagai macam tawaran daripada pimpinan politik.

Perlu diingatkan, setiap pemimpin elit yang membuat bermaca-macam kenyataan itu perlulah bertanggungjawab terhadap tawaran politik yang mereka sajikan kepada rakyat.

Ada kumpulan yang menawarkan janji untuk "menukar Najib" selepas pemimpin Umno itu dianggap membawa kerosakan massa kepada negara. Namun cuma janji yang itulah - mahu menukar Najib.

Pada sisi lain, ada kumpulan yang tidak membawa sebarang janji yang besar atau indah, selain "bukan Umno". Tidak ketinggalah pihak menjanjikan reformasi demokrasi.

Menjelang kedatangan PRU14 dan segala macam kemungkinan, pengalaman pejuang prodemokrasi di beberapa negara boleh dijadikan iktibar.

Era selepas Revolusi Oren (Orange Revolution) di Ukraine misalnya menyaksikan bagaimana ia mengecewakan pejuang terbabit apabila pemimpin elit saling bertelagah dan bersengketa sehingga ada yang memenjarakan kawan sendiri.

Di Zimbabwe, diktator Robert Mugabe yang tenat hayat politiknya pada pilihan raya 2008 kembali berkuasa.

Malah Mugabe berjaya memecah-belahkan Gerakan Untuk Perubahan Demokratik (MDC) yang dibentuk pelbagai kumpulan sebagai persediaan mereka menghadapi pilihan raya di negara itu.

Di Mesir, pejuang-pejuang prodemokrasi dan perubahan yang mengharapkan sesuatu selepas Arab Spring juga kecewa apabila kumpulan elit politik yang dipilih gagal menterjemah impian reformasi demokratik seperti dijanjikan.

Persoalannya di Malaysia sekarang, apakah yang sedang ditawarkan kepada rakyat menjelang PRU14? Adakah sekadar "janji menang", atau "menang dulu, selepas itu baru fikir agenda" atau pun "asalkan Najib ditukarkan"?

Jangan biar ditipu

Saya mengajak rakyat Malaysia menonton sebuah filem A Whisper To A Roar yang banyak memberi pengajaran kepada rakyat mengenai perjuangan demokrasi dan era pascamenang.

Kata-kata "seekor naga yang memusnahkan datang dengan pelbagai wajah, dan pewira juga datang dengan pelbagai bentuk" boleh dijadikan pedoman.

Ada perjuangan yang hanya menuntut pembunuhan sang naga semata-mata tapi melupakan pakaian perisai musuh mereka itu.

Tatkala sang naga dibunuh, si pewira yang dangkal akan kesaktian 'perisai' itu mula mencuba pakaian tersebut.

Kemudian dia mula selesa dengan kesaktian ditinggalkan sang naga, dan tanpa disedari si pewira itu akhirnya menjelma menjadi sang naga yang baru!

Lalu kampung halaman itu kembali terjerumus dalam sumpahan malapetaka dan kemusnahan.

Rakyat - terutama pejuang yang mahukan perubahan pada amalan demokrasi yang lebih baik - perlu berhati-hati kerana kita tidak mahu ada pemimpin elit mengambil kesempatan terhadap perjuangan rakyat dan pemimpin prodemokrasi yang naif.

Kegagalan membaca langkah politik semasa membuka jalan kepada mereka ditipu sang diktator seperti pernah - dan sedang - berlaku di Zimbabwe.

Persoalan maha penting untuk ditanya dan difikirkan bersama sekarang ialah: Siapakah Mugabe Malaysia?


YUSMADI YUSOFF mantan anggota parlimen Balik Pulau.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS