Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rindu terubat, Hadi nampak ceria lepas dibedah
Diterbitkan:  May 23, 2017 5:20 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dilaporkan kian beransur pulih selepas menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 16 Mei lalu.

Menurut setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, anggota parlimen Marang itu memberikan respon sangat positif terhadap rawatan yang diberikan Unit Rawatan Rapi IJN.

Bagaimanapun, katanya, untuk memastikan proses pemulihan berjalan dengan pantas, Abdul Hadi perlu rehat sepenuhnya.

"Oleh yang demikian, lawatan pada peringkat ini masih terhad kepada keluarga terdekat saja sehingga dimaklumkan sebaliknya nanti," katanya melalu pengumuman hari ini.

Pengumuman itu turut disertakan dengan gambar terbaru Abdul Hadi yang kelihatan tersenyum gembira di atas sebuah kerusi, dipercayai di luar wad IJN.

Beliau kelihatan berehat berhampiran sebuah wakaf di pusat rawatan berkenaan. Saluran bantuan oksigen dapat dilihat masih dipakai pada hidungnya.

Abdul Hadi dimasukkan ke IJN pada 15 Mei lalu dan PAS mengarahkan anggotanya melakukan sembahyang hajat bagi mendoakan sesi rawatan intensif ke atas presiden parti itu berjalan lancar.

Proses biasa lepas bedah

PAS juga mengumumkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memangku tugas Abdul Hadi sepanjang proses rawatan itu berlangsung.

Pada 18 Mei lalu, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa melawat Abdul Hadi yang selamat menjalani pembedahan berkenaan.

Perdana menteri meluangkan masa selama kira-kira 15 minit di situ dan sempat bertemu dengan keluarga terdekat Abdul Hadi serta doktor pakar yang merawatnya.

"Sama-sama kita doakan beliau segera sembuh dan dalam perlindungan Allah SWT sentiasa," kata Najib di laman Twitter dan Facebook beliau.

Status kesihatan terkini Abdul Hadi itu dimuat naik di laman Facebook rasminya kira-kira jam 5 petang tadi. Gambar beliau itu pula dipercayai dirakam kira-kira jam 12.15 tengah hari berdasarkan catatan pada imej berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata, Abdul Hadi sudah mula menjalani proses latihan fisioterapi bagi memperkuatkan keadaan fizikal ahli politik berusia 69 tahun itu.

"Ia adalah rawatan biasa yang dijalankan selepas seseorang menjalani pembedahan jantung," katanya.

Terdahulu, pengelola akaun Facebook Abdul Hadi mengumumkan bahawa mereka akan mengemas kini perkembangan dan gambar beliau "pada jam 5 petang".

"Bagi yang rindukan wajah terkini Tuan Guru Presiden, sila rujuk kepada laman dan FB rasmi," katanya.

Lihat Komen
ADS