PAS ulangi kesediaan bermuzakarah dengan Umno
PAS sekali lagi mempelawa untuk mengadakan muzakarah dengan Umno bagi membincangkan pelbagai isu demi kepentingan agama, bangsa dan negara, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
PAS sekali lagi mempelawa untuk mengadakan muzakarah dengan Umno bagi membincangkan pelbagai isu demi kepentingan agama, bangsa dan negara, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, PAS sudah bertahun-tahun mengatakan bahawa penyelewengan dan kepincangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak mampu ditangani oleh satu pihak sahaja tanpa pengemblengan seluruh tenaga Melayu.
"Dalam ucapan saya di Muktamar PAS di Kota Bharu baru-baru ini, PAS telah menawarkan untuk mengadakan muzakarah bagi membincangkan agenda ummah, termasuk permasalahan orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hadi berkata, cadangan untuk menghidupkan semula DEB adalah kerana ketidakcapaian 30 peratus ekuiti orang Melayu dalam ekonomi negara.
Menurutnya, Umno perlu mengakui bahawa di bawah pemerintahnya berlaku kebocoran dan ketirisan kontrak dan permit, ketidakcapaian ekuiti dan keciciran pendidikan anak-anak Melayu di institusi pengajian tinggi.
Kenaikan harga
Selain itu, katanya, berlaku pengangguran siswazah, penagihan tegar, kenazakan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) Melayu, kesengsaraan dan kemelaratan hidup orang Melayu kerana kenaikan harga barangan yang melambung.
Katanya, wujud juga segelintir korporat Melayu yang lupa daratan dan 'diselamatkan' membabitkan berbilion ringgit wang rakyat berlaku tanpa campurtangan pihak lain, jauh sekali pembangkang.
Beliau berkata, PAS telah mengikuti dengan terperinci perjalanan Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, khususnya mengenai isu-isu yang berkaitan dengan ekonomi dan masa depan orang Melayu.
Dalam perhimpunan tersebut, Pemuda Umno telah mencadangkan pengenalan Agenda Nasinal Baru yang bersemangatkan DEB dijadikan asas pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan yang akan dilancarkan tahun depan.

