Perwakilan Umno: Rafidah tidak boleh lepas tangan
Beberapa pemimpin Umno berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz tidak boleh lepas tangan dalam isu Proton dan permit import kereta (AP) tetapi hendaklah menjelaskan perkara sebenar dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat mengenainya.
Beberapa pemimpin Umno berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz tidak boleh lepas tangan dalam isu Proton dan permit import kereta (AP) tetapi hendaklah menjelaskan perkara sebenar dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat mengenainya.
Mereka juga menggesa beliau supaya tidak menuding jari dan menyalahkan orang lain, tetapi memikul tanggungjawab terhadap kemelut yang berlaku selama ini.
Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof antara perwakilan yang secara lantang membangkitkan isu AP di Perhimpunan Agung Umno minggu berkata, Rafidah tidak perlu takut jika beliau tidak melakukan atau terlibat dengan pengeluaran AP tersebut.
"Sekarang rakyat hendak tahu siapakah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang dimaksudkan itu? Jika tiada jalan penyelesaian segera, industri automatif negara akan menjadi semakin kelam kabut.
"Wang kerajaan berbilion yang dilaburkan untuk Proton sejak 25 tahun lalu, akan hilang begitu sahaja. Negara rugi, usahawan bumiputera lingkup," katanya ketika dihubungi di Afrika Selatan, hari ini.
Mohd Said berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa Rafidah tidak bercakap benar mengenai AP kepada perwakilan Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri juga mendakwa Rafidah juga gagal menamakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang didakwanya mengeluarkan AP tersebut.
Lambakan kereta import
Mohd Said yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin berkata, beliau pelik dengan peraturan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang membenarkan lambakan kereta import di pasaran tempatan sehingga mengancam kereta keluaran Proton.
"Mengapa kereta China, India, Korea dan Jepun begitu bebas masuk ke negara kita sedangkan Proton diwajibkan membina pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berharga RM1 bilion di negara tersebut untuk membolehkan kereta nasional dijual di sana," katanya.
Seorang perwakilan ke perhimpunan tersebut, Zuber Zabidi yang juga Setiausaha Pemuda Umno Kedah, berkata, Rafidah tidak boleh menyalahkan orang lain berhubung kegagalan beliau menangani isu Proton dan AP, tetapi sebaliknya beliau perlu memikul tanggungjawab itu.
Katanya, Rafidah sebagai menteri kabinet tidak boleh menyembunyikan sebarang maklumat yang dimilikinya kerana ia akan menyebabkan orang menuding jari kepada kerajaan.
"Bagi saya Rafidah cuba melepaskan diri sendiri dan jawabannya tidak ikhlas. Nampaknya dia mahu lepas tangan dalam isu tersebut," katanya.
Menurutnya, tindakan Rafidah mempersoalkan hujah Dr Mahathir dalam isu AP sebagai `tindakan tidak bermoral' dan melampau.
Zuber yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Alor Setar berkata, Rafidah juga perlu mengenepikan isu lain sebaliknya memastikan kedudukan Proton terjamin bukan sahaja di dalam tetapi di luar negara.
Bagaimana, katanya, Proton mahu berdaya maju jika Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sendiri tidak mahu membantu kereta nasional.

