Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz terus berdiam diri terhadap dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau telah mengelirukan Perhimpunan Agung Umno mengenai isu Permit Import (AP).

"Allah adalah saksi saya," beliau memberitahu para wartawan Malaysia di lobi Sheraton Hotel di sini, sebelum menuju Johannesburg untuk Forum Perniagaan Malaysia Afrika Selatan, hari ini.

Apabila didesak seterusnya, katanya: "Tanya Pak Lah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi)," ketika beliau naik keretanya.

Sejak semalam, Rafidah yang mengiringi Abdullah dalam lawatan rasmi tiga hari ke Afrika Selatan, telah mengelak media Malaysia, yang mengekorinya untuk maklumat mengenai isu berkenaan.

Rafidah semalam enggan mengulas selepas persidangan akhbar bersama antara Abdullah dan Presiden Afrika Selatan Thabo Mbeki.

Menurut laporan Bernama, beliau cuma berkata kepada pemberita: "Saya di Afrika Selatan. Saya tidak akan berkata apa-apa mengenai isu AP."

Tetapi suasana hatinya berubah apabila beliau dan menteri-menteri Kabinet lain mengiringi Perdana Menteri melawat Taman Kebebasan Afrika Selatan.

Tidak puas hati

Rafidah, di dalam ucapan penggulungannya sebagai Ketua Wanita Umno pada Perhimpunan Agung ke-56 parti itu Sabtu lalu, telah mencuba menjelaskan dengan panjang lebar mengenai pengeluaran AP tetapi diganggu oleh perwakilan yang jelas tidak puas hati dengan penjelasannya itu.

Terdapat mereka yang mahu Rafidah meminta maaf kepada Dr Mahathir kerana mereka merasakan beliau bersikap kurang sopan kepada bekas Perdana Menteri itu semasa pertikaman lidah mereka melalui media mengenai konroversi AP itu.

Selasa lalu, Rafidah, 61, menangis teresak-esak dalam satu persidangan akhbar berhubung dakwaan yang beliau bersikap kurang sopan kepada Dr Mahathir.

Katanya beliau menganggap Dr Mahathir, yang meletak jawatan pada 31 Oktober 2003, setelah 21 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia, sebagai seorang bapa.

Semalam Rafidah kelihatan begitu gembira, menikmati isterahatnya di taman itu tetapi terus merenggangkan diri daripada media.

Sementara itu, Abdullah sebelum itu enggan mengulas mengenai keputusan lembaga Proton tidak memperbaharui kontrak ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Tengku Mahaleel sedang bercuti berkuatkuasa 26 Julai sebelum persaraannya pada 30 September depan.

Proton telah melantik Datuk Kisai Rahmat, yang kini pengarah operasi, dan Datuk Kamarulzaman Darus, kini CEO Proton Tanjung Malim Sdn Bhd, sebagai ketua pegawai operasi bersama untuk mengendalikan Proton Holdings.