Chua nafi peralat isu DEB untuk dapat sokongan
Terjemahan Calon jawatan presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng hari ini menafikan yang beliau memperalatkan isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mendapat sokongan menjelang pemilihan parti tersebut.
Terjemahan Calon jawatan presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng hari ini menafikan yang beliau memperalatkan isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mendapat sokongan menjelang pemilihan parti tersebut.
Beliau menegaskan demikian dalam reaksinya terhadap kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin semalam yang menuduh beliau mempolitikkan isu tersebut untuk kepentingan diri sendiri.
"Saya tidak bermain politik. Siapa yang bermain politik? Saya hanya bertanya sama ada perlu dihidupkan semula dasar tersebut," kata Chua ketika dihubungi.
Naib presiden MCA itu berkata, beliau pernah membangkitkan kebimbangan masyarakat Cina berhubung DEB di Dewan Rakyat pada tahun 1988.
Oleh itu, katanya, ianya bukan satu isu yang cuba dimainkannya hanya kerana pemilihan MCA semakin hampir.
"Pemilihan itu hanya satu kebetulan. Saya tetap akan membangkitkan isu ini, tidak kira ada pemilihan parti ataupun tidak...rekod prestasi saya, jelas membuktikannya," tegasnya.
Minggu lalu, sewaktu perhimpunan agung Umno, Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein menggesa supaya DEB dihidupkan semula.
Dalam satu kenyataan kemudian, Chua menolak cadangan itu sebagai 'satu langkah mundur ke belakang', sambil menegaskan ia akan membangkitkan rasa bimbang di kalangan masyarakat dan pelabur asing.
Kekalkan semangat DEB
Chua berkata hari ini, semangat DEB penyusunan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum juga terkandung dalam Dasar Pembangunan Baru (1990-2000) and dan Dasar Wawasan Baru.
"Mengapa kita perlu menghidupkan semula DEB kerana matlamat serampang dua matanya masih wujud dalam dasar-dasar negara.
"Intipati kenyataan saya ialah apabila anda mahu menghidupkan semula DEB, anda memberi tanggapan yang DEB sudah tiada lagi. Biasanya, anda menghidupkan semula sesuatu yang sudah tiada...anda tidak hidupkan semula sesuatu yang masih wujud," katanya.
Menurutnya, beliau juga terperanjat kerana Khairi memilihnya sebagai sasaran, tanpa menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkannya berhubung isu tersebut.
"Sebagai seorang pemimpin kanan dalam parti kedua terbesar dalam kerajaan, saya perlu menyatakan ini kerana orang ramai bercakap mengenainya di kedai kopi dan juga di peringkat akar umbi. Ia menyebabkan mereka merasa tidak terjamin," katanya.
Ditanya mengapa beliau menjadi sasaran sedangkan Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting dan pemimpin parti yang lain juga tidak bersetuju dengann cadangan itu, Chua berkata ianya kerana beliau membuat kenyataan kepada akhbar semua bahasa.
"Saya tidak menyembunyikannya di kalangan bangsa saya sendiri (merujuk kepada media Cina). Kita sudah sampai ke peringkat di mana sudah wujud perpaduan nasional," tambahnya.

