Terjemahan Sebuah syarikat peranginan terkemuka di Genting Highlands telah memohon maaf kepada lebih 300 pelancong dari China yang membantah tindakan salahlaku kakitangan hotel berkenaan.

Kira-kira 340 pelancong dari China bertindak demikian selepas tiga kakitangan Hotel First World melukiskan karikatur gambar khinzir di belakang baucer sarapan pagi mereka di hotel berkenaan Selasa lalu.

" Perbuatan beberapa kakitangan berkenaan telah menimbulkan kemarahan pelancong dari China itu, dan mereka telah membuat bantahan kepada pihak pengurusan hotel itu," kata Anthony Yeo, jurucakap Resorts World, yang menguruskan hotel berkenaan dan lima hotel lagi, serta Kasino Genting.

Berikutan kejadian tersebut, pelancong terbabit, termasuk kanak-kanak, berkumpul di lobi hotel dan menyanyikan lagu-lagu patriotik selama lebih lima jam sebagai membantah perbuatan kakitangan hotel tersebut.

Perkara tersebut akhirnya berjaya diselesaikan apabila pihak hotel memohon maaf kepada para pelancong berkenaan, yang kini telahpun pulang ke negara mereka.

"Kami mengadakan dialog dengan ketua rombongan pelancong tersebut dan dengan bantuan Kedutaan China. Kami secara terbuka memohon maaf kepada mereka dan memberi jaminan tindakan disiplin sewajarnya akan diambil terhadap kakitangan terbabit," kata Yeo kepada AFP, sambil menambah beberapa kakitangan mungkin menghadapi tindakan dipecat.

Yeo enggan mengulas mengenai bentuk lukisan tersebut, tetapi khinzir merupakan binatang yang haram kepada umat Islam.

Kedatangan kedua terbesar

Yeo berkata, jumlah pelancongan dari China merupakan 11 peratus daripada jumlah penginap hotel tersebut, dan merupakan pelancongan asing kedua terbesar mengunjungi pusat peranginan itu.

"Oleh itu, mereka akan penting kepada kami," tambah Yeo.

"Dengan penjelasan tersebut dan pemohonan maaf secara terbuka itu, ia tidak sepatutnya menjejaskan hubungan dua hala atau akan menjejaskan kedatangan pelancong," katanya, sambil menyifatkan ianya sebagai satu kejadian yang jarang berlaku.

Sektor pelancongan merupakan penyumbang pertukaran asing yang kedua terbesar, berjumlah kira-kira RM30 bilion pada 2004 membabitkan 15 juta pelancong.