Ketua Pemuda MCA: Anak Ling Liong Sik umum esok
Ling Hee Leong, anak lelaki sulung bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik akan mengumumkan esok sama ada bertanding atau tidak jawatan Pemuda MCA dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Ling Hee Leong, anak lelaki sulung bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik akan mengumumkan esok sama ada bertanding atau tidak jawatan Pemuda MCA dalam pemilihan parti itu bulan depan.
"Saya akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan itu di Hotel Syuen Ipoh pada jam 2 petang esok. Jawatan yang saya tandingi, akan diberitahu esok," katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.
Ahli perniagaan berusia 35 tahun itu yang juga ketua pemuda MCA Bahagian Kuala Kangsar, sebelum ini berkata beliau tidak menolak kemungkinan bertanding jawatan ketua pemuda kerana menganggapnya sebagai "kemungkinan yang realistik."
Sehingga ini hanya dua calon Setiausaha Agung Pemuda Datuk Liow Tiong Lai dan pengerusi pemuda bahagian Kapar Datuk Song Chee Chai telah mengumumkan hasrat masing-masing untuk bertnding jawatan nombor satu sayap pergerakan berkenaan.
Difahamkan bahawa pemuda MCA Perak mencadangkan Ling bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda.
Pergerakan itu menyediakan "senarai calon", termasuk Ling sebagai seorang daripada calon bagi jawatan timbalan ketua Pemuda bersama-sama dengan Setiausaha Agung Pemuda Kebangsaan Loh Seng Kok dan bekas Timbalan Pengerusi Pemuda Selangor Datuk Liew Yuen Keong.
Ling hari ini bagaimanapun berkata sebarang jawatan dalam pergerakan itu bebas ditandingi.
Pemuda MCA Kelantan sebulat suara mencalonkan Ling untuk jawatan ketua Pemuda selepas majoriti pemimpin Pemuda bahagian menyuarakan sokongan kepadannya.

