Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiada jangkitan baharu penyakit selesema burung (H5N1) dikesan di Kelantan sejak 59 hari lepas, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

JPV dalam satu kenyataan hari ini berkata sehingga kini, 36 lokasi disahkan positif wabak itu melibatkan enam jajahan iaitu 15 lokasi di Kota Bharu, enam di Pasir Mas, lima di Tumpat, enam di Bachok, tiga di Pasir Puteh, dan satu di Tanah Merah, melibatkan 51 premis.

"Jumlah pelupusan adalah 56,953 ekor ternakan unggas dan 17,531 biji telur. Bagi aktiviti pemantauan, jumlah sampel yang diambil 3,792 daripada 647 pemilik," menurut kenyataan berkenaan.

Melalui operasi sekatan jalan raya di empat lokasi strategik pula, sebanyak 21,764 kenderaan telah diperiksa dengan 61 kes rampasan melibatkan 286 ekor unggas.

Menurut JPV, setakat ini tiada jangkitan H5N1 dikesan dalam kalangan manusia manakala negeri lain pula kekal bebas wabak itu, namun berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Orang ramai juga tidak perlu bimbang untuk menikmati telur dan ayam pedaging yang dijual di pasaran kerana ia dikeluarkan oleh penternak di negeri yang bebas penyakit tersebut.

Pada 15 Mac lepas, kerajaan negeri Kelantan mengisytiharkan wabak H5N1 sebagai bencana negeri susulan kematian ayam kampung akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, di Kota Bharu pada 6 Mac.

-Bernama

Lihat Komen
ADS