Terjemahan Calon jawatan presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan muncul di TV3 esok untuk berdebat berhubung gesaan dihidupkan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Perdebatan mereka akan disiarkan melalui program bisnes stesen tersebut The Exchange. Rakaman perdebatan tersebut berlangsung di Studio TV3 di Sri Pentas hari ini dan akan disiarkan mulai jam 7.30 hingga 8.00 malam esok.

Di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Khairy telah mempelopori gesaan pergerakan tersebut supaya dihidupkan semula DEB, kerana orang Melayu masih lagi jauh daripada mencapai 30 peratus ekuiti sepertimana matlamat dasar tersebut.

Bagaimanapun gesaan tersebut telah mendapat kritikan keras daripada akhbar berbahasa Cina dan parti politik bangsa Cina di dalam Barisan Nasional sendiri.

MCA dan Gerakan menolak gesaan itu dengan alasan ia boleh menjejaskan usaha menangani cabaran di zaman globalisasi ini. Mereka merasakan isu utama ialah meningkatkan kecekapan orang Melayu dan bukannya menumpukan kepada isu pembahagian kekayaan semata-mata.

Bertikam lidah

Khairy dan Chua telah bertikam lidah berhubung isu tersebut dalam media minggu ini. Chua dituduh membangkitkan isu itu untuk memancin undi kerana pemilihan MCA akan berlangsung tidak lama lagi.

Naib Presiden MCA itu, bagaimanapun, menafikan yang beliau bermain politik dan menegaskan pernah membangkitkan isu yang membabitkan masyarakat Cina berkaitan dengan DEB di Parlimen pada tahun 1988.

Chua turut mengeluarkan kenyataan yang menolak cadangan tersebut sebagai 'satu langkah ke belakang' dan menegaskan langkah tesebut boleh menimbulkan rasa bimbang dan tidak yakin di kalanan masyarakat lain dan pelabur asing.

Dalam program tersebut, Khairy dan Chua akan diminta menjawab tiga soalan, iaitu sama ada DEB satu dasar ke belakang, sama ada langkah menghidupkannya semula akan menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat lain dan cara untuk membasmi kemiskinan di kalangan orang Melayu.

Program The Exchange bermula pada 28 Januari tahun ini dan ditaja oleh Malaysia Airlines Kargo Sdn Bhd (MASkargo).