Terjemahan Bukan setakat skandal permit import kereta (AP), tetapi Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mahu Datuk Seri Rafidah Aziz dipersoal mengenai soal peruntukan saham-saham bumiputera.

Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Ezam Mohd Noor berkata, isu AP tersebut bukanlah merupakan skandal pertama Rafidah sejak beliau mengambil alih Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurutnya, ahli politik veteran itu juga telah disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana didakwa telah memperuntukkan lima juta saham bumiputera kepada menantunya, Fazrin Azwar.

Apabila diberitahu yang siasatan tersebut telahpun ditutup, Ezam berkata: "Mereka mungkin mengatakan yang beliau tidak terbabit dalam sebarang salahlaku, tetapi kertas siasatan menunjukkan bukti-bukti yang beliau telah mengarahkan supaya menantunya itu diberi saham tersebut."

"Saya juga ingin menekankan di sini bahawa sehingga ini tiada seorangpun yang mempertikaikan kesahihan dokumen-dokumen yang mengakibatkan saya merengkok selama dua tahun dalam penjara," tambahnya.

Ezam telah didakwa dan dihukum di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan dokumen-dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia berhubung siasatan tersebut.

Bagaimanapun, sabitan dan hukuman ke atasnya kemudiannya telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas beliau membuat rayuan.

Syarikat Keng Yaik?

Sementara itu, Ezam juga mendakwa, selain siasatan BPR itu, terdapat juga dakwaan oleh bekas pegawai MITI, Rejab Lebai Man ketika membela diri terhadap tuduhan pecah amanah bagaimana Rafidah telah mengarahkannya supaya memberi peruntukan saham bumiputera kepada syarikat yang dikuasai oleh Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

"Adalah siasatan dijalankan terhadap tuduhan yang serius seperti itu? Saya rasa tidak. Jika mereka benar-benar ikhlas dan serius untuk membanteras rasuah, siasatan terperinci terhadap penyalahgunaan kuasa di MITI mesti dimulakan sekarang," katanya.

Skim peruntukan saham bumiputera dilancarkan pada tahun 1971, bertujuan untuk memindahkan 30 peratus kekayaan korporat Malaysia kepada orang Melayu, untuk membantu mereka setanding dengan ahli perniagaan Cina yang menguasae bidang ekonomi.

Ezam berkata siasatan terhadap MITI juga akan membuktikan keikhlasan kerajaan dan Umno untuk membantu orang Melayu.

"Umno bercakap mengenai agenda baru untuk membantu orang Melayu. Mereka menyentuh tentang semangat Melayu, dengan mendakwa yang dasar-dasar tidak memiliknya...untuk mengarut. Masalahnya bukan mengenai semangat Melayu tetapi mengenai ada atau tidak semangat kejujuran.

"Apa yang berlaku terhadap AP dan peruntukan saham tersebut bukan disebabkan oleh dasar-dasar tidak baik, tetapi mengenai pelaksanaan dasar-dasar tersebut yang telah disalahgunakan oleh pihak berkuasa," tambahnya.

Katanya, sebarang agendi baru atau lama tidak membawa sebarang makna selagi kerajaan enggan menjadi lebih telus dalam pelaksanaan dasar dan mengamalkan pentadbiran kerajaan yang baik.

Langkah ke belakang

Sementara itu, dalam satu kenyataan semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga menyentuh mengenai saranan Pemuda Umno supaya dilaksana agenda baru bagi membantu orang Melayu.

Katanya, gesaan pergerakan itu supaya dihidupkan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu langkah ke belakang, boleh memecahbelahkan dan membenihkan rasuah dan amalan yang salah.

"Rakyat Malaysia bukan Melayu dan Melayu yang miskin tidak akan yakin bahawa DEB telah memenuhi fungsinya untuk mewujud kekayaan dan pembahagian kekayaan yang sama rata," tambahnya.

Menurutnya, DAP merasa kecewa kerana Umno telah meminggirkan orang bukan Melayu daripada satu dasar yang amat penting seperti itu.

"Keengganan Umno untuk membenarkan semua rakyat Malaysia membahas dan menyuarakan pandangan mereka adalah tidak demokratik dan tidak berpelembagaan dan sama seperti enggan menghormati bukan Melayu yang juga merupakan rakyat Malaysia," tambahnya.