Kegagalan enam kontraktor melaksanakan projek bekalan air bernilai RM132.28 juta didakwa menjadi punca krisis air yang berlaku di Negeri Sembilan sejak lebih sebulan lalu.

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Shahrim berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat perkara itu.

Katanya, laporan oleh Ketua Audit Negara pada 2002 menyatakan bahawa projek bekalan air di Negeri Sembilan gagal meskipun peruntukan sebanyak RM132.28 juta telah dibelanjakan.

"Kita mendapat tahu keenam-enam kontraktor itu ada kaitan dengan Umno, ini menyebabkan kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan ke atas mereka," katanya ketika dihubungi malaysiakini semalam.

Badrul Hisham mendakwa, kawasan tadahan hujan di Hulu Sungai Terip, Jelebu yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal sudah diceroboh dengan aktiviti pembalakan.

Katanya, ketika krisis air melanda beberapa negeri termasuk Selangor dan Melaka beberapa tahun lalu, Negeri Sembilan tidak terbabit kerana empangan penuh dengan air.

Beliau mendakwa, penyelewengan pengurusan air banyak berlaku di Negeri Sembilan, termasuk yang membabitkan 300 keluarga di sebuah taman perumahan di bandar Seremban Selatan.

"Kontraktor menyambung paip terus ke rumah penduduk taman berkenaan dan mereka tidak perlu membayar sesenpun kepada pihak berkuasa air," katanya.

Menurutnya, rumah taman tersebut juga tidak mendapat sijil layak menduduki (CF) dari Majlis Perbandaran Seremban (MPS) walaupun penghuni mendiaminya sejak empat tahun lalu.

Kadar air terbuang

Beliau mendakwa pemaju taman terbabit dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno Negeri Sembilan.

Menurut Badrul Hisham lagi, ada 15 taman perumahan di seluruh Negeri Sembilan yang tidak mendapat CF tetapi pihak berkenaan membenarkan unit rumah terbabit didiami.

Beliau berkata, di daerah Seremban kadar air terbuang ialah 54 peratus dan tertinggi di Malaysia.

Katanya, antara kawasan yang terjejas teruk dengan krisis air ialah Seremban, Ampangan dan Lenggeng di mana mereka dikenakan catuan air setiap 24 jam.

"Air paip bukan kotor tetapi yang lebih malang ialah meter paip bergerak meskipun hanya angin yang keluar," katanya.

Beliau juga mendakwa bahawa Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hassan mengambil pendekatan tidak bijak apabila mendakwa catuan air dibuat untuk menyedarkan pengguna supaya menghargai air.

"Mohamad juga berkata kekeringan empangan di Negeri Sembilan berlaku kerana kegiatan bomoh hujan yang mengalihkan hujan ke tempat lain. Ini kenyataan untuk membodohkan rakyat," katanya.

Sementara itu Pengerusi jawatankuasa Berindak Kemudahan Asas, Jamlus Aziz tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklumat.