Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
McD samak kedai lepas pelanggan bawa anjing
Diterbitkan:  May 30, 2017 1:13 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

McDonald’s menyamak sebuah restorannya di Bukit Indah, di Johor Bahru selepas sekumpulan remaja membawa anjing ke tempat itu.

Pengurusan jaringan restoran makanan segera itu berkata proses pembersihan dan sertu (samak) itu dilakukan serta-merta di ruang lobi luar premis itu dengan panduan masjid berhampiran.

“Langkah itu dilakukan susulan tindakan sekumpulan remaja bukan Islam membawa anjing peliharaan mereka dan duduk di ruang lobi restoran berkenaan dalam kejadian, pada malam Ahad lalu.

“Kami (McDonald’s Malaysia) sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan, keselamatan dan pematuhan Halal di semua premis kami,” kata McDonald’s.

Gambar yang beredar di laman sosial menunjukkan seekor anjing berwarna cerah duduk di atas kerusi bersama pelanggan-pelanggan lain.

Rata-rata pengguna Internet yang beragama Islam tidak puas hati dengan tindakan itu.

Dalam kenyataan kepada Harian Metro, McDonald’s juga berkata mereka kesal dengan tindakan pelanggan kelmarin kerana mengganggu ketenteraman pelanggan lain dan melanggar peraturan.

Tindakan itu juga dikatakan melanggar kod kebersihan Kementerian Kesihatan yang melarang haiwan peliharaan dibawa ke kedai makan, serta peraturan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Lihat Komen
ADS