Penduduk setinggan dakwa diugut penguatkuasa MPSJ
Setinggan Kampung Seri Puchong mendakwa anggota Rela dan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menggugut penduduk kampung supaya berpindah ke kawasan perumahan Bandar Kinrara, 20 kilometer dari rumah mereka.
Setinggan Kampung Seri Puchong mendakwa anggota Rela dan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menggugut penduduk kampung supaya berpindah ke kawasan perumahan Bandar Kinrara, 20 kilometer dari rumah mereka.
Penduduk juga mendakwa MPSJ akan mengambil tindakan merobohkan rumah mereka jika tidak dikosongkan pada akhir bulan Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kebajikan Kampung Seri Puchong, R Daniel berkata, penduduk bimbang rumah mereka diroboh oleh MPSJ.
"Ramai yang mengambil cuti kerana mahu menjaga rumah mereka daripada dirobohkan oleh MPSJ. Ada juga yang berhenti bekerja," katanya.
Sebelum ini, beliau menyerahkan nota bantahan penduduk kepada MPSJ, yang diterima oleh Nazri Ishak bagi pihak Yang Dipertua MPSJ, Datuk Ab. Hakim Borhan tengah hari tadi.
Daniel berkata, anggota penguatkuasa MPSJ sudah menampalkan notis di rumah penduduk meminta mereka berpindah ke Bandar Kinrara kerana rumah setinggan di Kampung Seri Puchong akan dirobohkan.
Bayar faedah bank
"Masalahnya penduduk telah membeli apartmen kos rendah Lestari Puchong tetapi projek perumahan tersebut tidak disiapkan sepenuh dan kini terbengkalai. Namun penduduk tetap membayar faedah bank sejak dua tahun lalu," katanya.
Menurutnya, seramai 274 keluarga telah mendiami Kampung Seri Puchong sejak tahun 1992, tetapi 102 daripada keluarga terbabit, mendapat flat kos rendah di Puchong Indah minggu lalu.
Surirumah Vijarani Kanaragan berkata, perumahan baru yang ditawarkan kepada penduduk terbabit di Bandar Kinrara yang tidak mempunyai kemudahan asas pengangkutan awam dan sekolah.
Katanya, penduduk setinggan Kampung Seri Puchong juga kebanyakannya bekerja di Puchong dan mereka akan menghadapi masalah pengangkutan jika berpindah ke sana kerana jaraknya ialah kira-kira 20 kilometer.
Vijarani mendakwa beliau telah ditipu oleh orang tengah selepas membayar RM2,500 wang pendahuluan untuk mendapatkan flat kos rendah di kawasan berhampiran Kampung Seri Puchong.
"Orang tengah terbabit mendakwa mereka pemaju yang akan membina rumah di kawasan Kampung Seri Puchong dan saya bimbang ramai lagi setinggan akan menjadi mangsa," katanya.
Tempat baru jauh
Jayaletchumi Nagapan pula mendakwa beliau sepatutnya mendapat flat kos rendah yang sudah siap dibina di Lestari Puchong tetapi pada saat akhir bertukar tangan kepada orang lain.
Pada peringkat awal dahulu, katanya, Kerajaan Selangor dan MPSJ memberitahu penduduk setinggan Kampung Seri Puchong akan dipindah setelah mereka mendapat rumah di Lestari Puchong.
"Kini keadaan telah menjadi sebaliknya. Projek perumahan tersebut terbengkalai tetapi MPSJ mendesak kami berpindah ke Bandar Kinrara, sedangkan pampasan RM7,000 belum dibayar.
"Mereka (MPSJ) kata wang RM7,000 akan dibayar setelah mereka berpindah tetapi penduduk tidak percaya dengan janji tersebut," katanya.
Sementara itu, peguam penduduk terbabit, A Sivanesan berkata, pihaknya merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap MPSJ jika rundingan dengan Ab. Hakim minggu depan menemui jalan buntu.
Katanya, MPSJ perlu mengambilkira kesukaran penduduk setinggan yang telah mendiaminya sejak 12 tahun dengan memberi rumah kos rendah di kawasan rumah mereka.
Menurutnya, adalah tidak munasabah bagi MPSJ memindahkan penduduk terbabit ke Bandar Kinrara sedangkan banyak lagi projek perumahan di sekitar Kampung Seri Puchong.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.