Khazanah Nasional Bhd berkata, buat masa ini ia tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menjual semua atau sebahagian daripada kepentingannya yang sedia ada dalam Proton Holdings Bhd.

Cawangan kewangan kerajaan itu berkata demikian dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini bagi menjawab sebuah laporan media yang menyebut bahawa Volkswagen AG sedang berbincang untuk membeli kepentingan besar hingga 30 peratus dalam Proton.

Khazanah, pelabur strategik yang cergas dan memegang saham penguasaan sebanyak 42.7 peratus dalam Proton, berkata ia sentiasa mencari jalan untuk menambah nilai pemegang saham dan meningkatkan pulangan pelaburan.

Katanya, ia terus komited dalam menyokong lembaga pengarah dan pengurusan Proton dalam usahanya sekarang untuk menambah baik operasi dan kedudukan strategik syarikat itu, termasuk perbincangan yang sedang dijalankan berhubung dengan cadangan mengadakan perikatan dengan Volkswagen AG.

Sementara itu, laporan media itu memetik sumber-sumber sebagai berkata pegawai-pegawai dari Khazanah dan juga Volkswagen mengadakan pertemuan di ibu pejabat Proton semalam, untuk membincangkan urusniaga tersebut.

Menurut Bernama, laporan itu menyebut, syarikat kereta Jerman itu berminat untuk menyertai pengurusan Proton, pengeluar kereta nasional pertama negara ini.