Anwar: Sudah masanya mengakhir keistimewaan kepada bumiputera
Terjemahan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hari ini bahawa masanya sudah tiba untuk mengakhiri 35 tahun keistimewaan kepada orang Melayu, kerana ia mengakibatkan wujudnya budaya rasuah.
Terjemahan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hari ini bahawa masanya sudah tiba untuk mengakhiri 35 tahun keistimewaan kepada orang Melayu, kerana ia mengakibatkan wujudnya budaya rasuah.
Anwar, yang menjalani hukuman penjara atas kesalahan salahguna kuasa dan liwat selepas dipecat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata langkah memberi keistimewaan kepada bumiputera juga tidak adil kepada kaum Cina di Malaysia.
"Dasar ekonomi kita perlu diubah," kata Anwar dalam satu sidang akhbar dalam lawatan ke Tokyo.
"Pada tahun 70-an, terdapat kemiskinan, dan tiada peluang bagi bumiputera di sektor perniagaan. Ini tahun 2005. Kita telah mendapat bantuan yang mencukupi," katanya.
"Bila seorang Cina Malaysia, maksud saya yang pintar, yang cemerlang dalam peperiksaan, akan bertanya kepada saya, ' Dengan keputusan cemerlang ini, mengapa saya tidak diberi peluang menyertai syarikat perubatan? Bagaimana anda mahu menjawabnya?" kata Anwar.
Di bawah dasar tersebut sejak tahun 1970, kaum pribumi mendapat faedah dalam sektor ekonomi, pendidikan dan lain-lain lagi bagi merapatkan jurang kekayaan dengan masyarakat Cina.
Bantu Melayu atau kroni?
Katanya, penyokong dasar itu berkata 'ia adalah untuk membantu orang Melayu, tetapi bagi saya, ia membantu kroni."
Isu rasuah terus menjadi isu hangat di Malaysia, yang memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan kempen membasmikan amalan tersebut selepas beliau menggantikan Dr Mahathir yang bersara pada tahun 2003 selepas 22 tahun memerintah.
Anwar dianggap bakal mengganti Mahathir sebelum beliau dipecat pada tahun 1998 dan dipenjarakan atas tuduhan salahguna kuasa dan liwat, yang menurut Anwar sengaja diada-adakan bagi menghalangnya mencabar Mahathir untuk jawatan perdana menteri.
Pada September tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman bagi tuduhan liwat ke atas Anwar.
Bagaimanapun, Anwar gagal dalam rayuan terhadap sabitan dan hukuman liwat, dan mengikut undang-undang, beliau tidak boleh memegang jawatan politik sehingga bulan April 2008.
- AFP

