Terjemahan Tidak seperti yang jangkaan, Ling Hee Leong anak bekas PresidenMCA Datuk Dr Ling Liong Sik tidak akan bertanding jawatan ketua Pemuda MCA dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Sebaliknya, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda yang akan menyaksikan perebutan empat penjuru.

Bercakap dalam sidang akhbar di Ipoh petang ini, Hee Leong berkata, beliau membuat keputusan itu selepas menimbang maklumbalas daripada para perwakilan dan ahli-ahli pergerakan itu dari seluruh negeri.

Ketika dihubungi kemudiannya, ahli perniagaan berusia 35 tahun itu, yang juga ketua Pemuda MCA Kuala Kangsar, berkata keputusannya itu tidak bermakna yang beliau menerima 'senarai calon' yang diumumkan oleh jawatankuasa rundingan enam anggota sebelum ini.

Dalam senarai itu, jawatankuasa tersebut mencalonkan Hee Leong bertanding jawatan timbalan Ketua Pemuda, tetapi ketika itu, timbul desas-desus mengatakan anak Liong Sik itu akan bertanding jawatan ketua pergerakan tersebut.

Tiada rundingan

Beliau juga menafikan yang 'persetujuan telah dicapai' dengan pucuk pimpinan pusat baginya bertanding jawatan nombor dua pergerakan itu, bagi menjamin kemenangannya.

"Kami tidak mengenepikan proses demokrasi, kuasa untuk memilih adalah di tangan perwakilan, maka tiada wujud perkara 'pasti menang' dan saya juga tidak menemui sebarang pemimpin peringkat pusat mengenainya," katanya.

Hee Leong bagaimanapun, enggan mengulas apabila ditanya sama ada beliau mendapat 'restu' mana-mana pemimpin parti itu.

Menurut beliau, keputusannya itu dibuat berdasarkan kepada pandangan para perwakilan dan penyokongnya dan beliau telah mengambil masa yang panjang untuk mengumumkan keputusannya itu.

Mengenai sokongan daripada keluarganya, Hee Leong berkata: "Ini tugas saya, mereka tidak campurtangan."

Pada masa yang sama, Hee Leong juga menafikan dakwaan yang beliau mensasarkan jawatan ketua Pemuda untuk membina semula 'dinasti Ling'. Bapanya memimpin MCA selama 17 tahun sehinggalah beliau melepaskan jawatan presiden dua tahun lalu.

"Ia bukan seperti dulu lagi, ini bukan negara China untuk bercakap mengenai dinasti, setiap pemimpin dipilih oleh ahli melalui proses demokrasi," tegasnya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, Hee Leong berkata, beliau menyerahkannya kepada 1,809 perwakilan Pemuda yang akan mengundi pada 19 Ogos depan.

Tidak ada manifesto

Hee Leong berkata, beliau juga tidak akan mengeluarkan sebarang manifesto bagi pemilihan kali ini.

Sehingga hari ini, calon-calon lain yang telah mengesahkan bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda ialah Setiausaha Agung bersama Pemuda MCA, Loh Seng Kok; Ketua bahagian Serdang, Liew Yuen Keong dan Ketua Biro Undang-undang Pemuda, Lim Seng Chai (foto).

Nama Loh dan Liew turut termasuk dalam 'senarai calon' yang dikatakan telah dipersetujui oleh semua ketua Pemuda negeri untuk bertanding jawatan tersebut.

Hee Leong yang dianggap sebagai pendatang baru, tidak pernah memegang sebarang jawatan parti di peringkat pusat, berbanding dengan calon-calon lain.

Berikutan keputusan Hee Leong itu, maka pertandingan bagi jawatan ketua Pemuda bakal menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Setiausaha Bersama Pemuda, Liow Tiong Lai dengan Ketua Pemuda Kapar Soong Kee Chai.

Jawatan Pemuda MCA akan dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Ong Tee Keat, yang akan bertanding merebut jawatan naib presiden.