Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 suspek utama kes pemerdagangan manusia akan diekstradisi
Diterbitkan:  Jun 1, 2017 6:14 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Kerajaan Malaysia akan memohon perintah ekstradisi untuk membawa pulang tiga suspek utama kes pemerdagangan manusia yang berlaku di Wang Kelian, Perlis pada 2015 bagi dibicarakan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketiga-tiga suspek itu merupakan dalang utama dalam kes berkenaan dan bukannya suspek "ikan bilis" seperti yang didakwa.

"Tiga tahanan ini kini berada di penjara Thailand dan kita dalam usaha mendapatkan perintah ekstradisi untuk membawa mereka pulang segera bagi dibicarakan di mahkamah negara.

"Kita telah kemukakan surat melalui Wisma Putra dan beberapa syarat telah pun kita penuhi untuk tujuan itu," katanya ketika melakukan lawatan ke Tapak Projek Pembinaan Secara Bersepadu ICQS di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata maklumat risikan yang diterima mereka adalah suspek "ikan jerung" dan menolak dakwaan terdapat sekurang-kurangnya 10 suspek utama yang terlibat dalam isu berkenaan.

"Selepas berbincang dengan kerajaan Thailand dan menteri yang bertanggungjawab, kita sahkan hanya tiga orang yang terlibat," katanya.

Pada Mei 2015, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengumumkan penemuan lebih 130 buah kubur di 28 buah kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Mengulas isu itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan sangat komited dalam menjaga kedaulatan negara dan tidak bertindak sambil lewa dalam menangani isu yang sangat serius seperti itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS