Keluarga pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akan menfailkan permohonan habeas corpus tidak lama lagi.

( Habeas corpus adalah permohonan yang dibuat di mahkamah untuk membebaskan seseorang yang mendakwa dirinya ditahan secara tidak sah.)

Menurut peguam aktivis pelajar itu Latheefah Koya, buat masa sekarang permohonan itu sedang disiapkan.

"Saya berharap ia dapat disiapkan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi malaysiakini , petang tadi.

Khairul Anuar ditahan ketika beliau sedang mengiringi enam aktivis pelajar ke balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu.

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan turut ditahan di bawah akta yang sama hari berikutnya. Beliau ditangkap berhampiran sebuah bengkel di Jalan Sentul, Kuala Lumpur jam 4.05 petang.

Keluarga Mohamad Fuad dipercayai akan turut menfailkan permohonan yang sama. Bagaimanapun, malaysiakini gagal menghubungi keluarga dan peguamnya hari ini untuk pengesahan.

Malaysiakini difahamkan keluarga pemimpin pelajar itu akan ke ibu pejabat polis Bukit Aman esok.

Kedua-dua pelajar itu ditahan kerana didakwa "menggugat keselamatan dan ketenteraman negara."

Sementara itu seorang pegawai di ibu pejabat polis Bukit Aman, Supt Benjamin Hasbie berkata kedua-dua pelajar itu kini masih dalam siasatan.

Menurutnya, ketika dihubungi petang tadi, sehingga kini anggota keluarga masing-masing belum dibenarkan melawat dua pelajar itu.

Beliau juga memaklumkan dua keluarga itu belum memohon untul melawat tahanan tetapi polis menerima surat bantahan pada Selasa lalu daripada keluarga Khairul Anuar melalui seorang kakaknya.

Dalam perkembangan berkaitan, MPMUM menyerahkan 'deklarasi misi keamanan Universiti Malaya' kepada naib pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Harun Hashim petang tadi.

Menurut pemangku presiden persatuan itu, Aznur Hafeez Kaswuri, deklarasi itu antara lain memohon Mohamad Fuad dibebaskan kerana menurut majlis pelajar itu, presidennya tidak pernah terbabit dengan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan masyarakat.

Tambah Aznur Hafeez, penyerahan deklarasi itu sebagai sebahagian "pendekatan diplomasi" MPMUM dengan kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Deklarasi itu juga merayu pihak berkuasa supaya tidak menggunakan sebarang kekerasan dan penderaaan jasmani terhadap pelajar itu.

Selain itu, MPMUM bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung semua perkara yang berlaku di universiti itu sejak akhir-akhir ini.

Minggu ini, deklarasi yang sama telah diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Abdullah Ahmad Badawi dan Naib Canselor Datuk Prof Dr Anuar Zaini Md Zin.