Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak bangsawan tak faham jerih bekas tentera
Diterbitkan:  Jun 2, 2017 11:49 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Benarkah kerajaan mengambil berat mengenai nasib dan kebajikan pesara tentera - itu pertanyaan dikemukakan Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini.

Katanya, walaupun Putrajaya menyatakan kerajaan tidak melupakan jasa dan pengorbanan bekas anggota tentera, kelewatan pembayaran caruman - selama berbulan-bulan - kepada mereka pada 2016 menunjukkan sebaliknya.

Pembayaran caruman bulanan itu, kata Nik Nazmi, perlu dilakukan mengikut jadual ditetapkan, terutama apabila mengambil kira pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dibayar gaji lumayan untuk menjaga kebajikan bekas tentera.

Namun, katanya, dua tokoh "bangsawan" yang terbabit dalam hal ehwal tentera negara mungkin tidak memahami jerih hidup bekas tentera negara ini.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang lahir dalam keluarga bangsawan mungkin tidak memahami jerih perih veteran tentera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia memberitahu memang menjadi tanggungjawab menteri pertahanan untuk menyelesaikan sebarang masalah pentadbiran antara LTAT dan Jabatan Urusan Gaji Angkatan Tentera yang boleh melambatkan pembayaran.

"Selain itu, isu veteran tentera juga harus dikaji dengan penuh teliti oleh pihak berwajib kerana masih ramai lagi antara mereka yang tampil mengadu mengenai masalah dihadapi.

Masalah yang berpanjangan akan meresahkan bukan sahaja pesara tentera tetapi juga anggota yang sedang berkhidmat, serta orang awam," katanya.

Kegagalan menyelesaikan itu itu segera, kata Nik Nazmi, hanya akan memberi gambaran salah kepada anggota yang sedang berkhidmat.

"Mereka akan terfikir nasib sama akan menimpa mereka apabila besara kelak.

"Apabila ini berlaku, tentu semangat juang anggota tentera menjadi luntur," katanya.

Pada masa sama Nik Nazmi meminta meminta kerajaan memperkenalkan lebih banyak program latihan bagi menjamin kebajikan pesara tentera.

Tidak seperti kerajaan pusat, Nik Nazmi mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor memberi sumbangan RM1 juta kepada pesara tentera melalui belanjawan 2017.

Ia tidak termasuk pelaksanaan skim pinjaman mikro Hijrah yang membolehkan pesara mendapatkan bantuan kewangan, selain program kemahiran untuk mereka.

"Jelas sekali, HARAPAN mengutamakan veteran sedangkan kerajaan Persekutuan mengabaikannya," kata Nik Nazmi.

Lihat Komen
ADS