Khairy, Chua: Pastikan semua kaum maju bersama menjelang 2020
Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng mahu punca kegagalan bumiputera mencapai 30 peratus ekuiti sepertimana yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikenalpasti bagi mencari jalan yang paling berkesan untuk menjadikannya satu realiti menjelang tahun 2020.
Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng mahu punca kegagalan bumiputera mencapai 30 peratus ekuiti sepertimana yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikenalpasti bagi mencari jalan yang paling berkesan untuk menjadikannya satu realiti menjelang tahun 2020.
Pada masa yang sama, beliau mencadangkan supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa nasional untuk menilai pencapaian semua kaum supaya mereka bergerak seiring dalam mencapai Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Beliau berpendapat, kedua-duanya adalah pendekatan yang paling berkesan untuk memastikan kejayaan bersama dicapai, dan bukannya dengan menghidupkan semula DEB dan menekankan kepada kemajuan kaum bumiputera semata-mata.
Beliau menegaskan demikian dalam program The Exchange di TV3 malam ini di mana beliau membincangkan isu tersebut bersama dengan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Khairy pula menjelaskan bahawa Pemuda Umno membangkitkan isu untuk menghidupkan semula semangat DEB kerana berpendapat Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang menggantikan DEB pada 1990, tidak memberi penekanan sewajarnya kepada penerusan matlamat yang belum dicapai dalam DEB, khususnya untuk bumiputera.
Menurutnya, penekanan terhadap matlamat serampang dua mata yang digariskan dalam DEB membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tidak mendapat keutamaan kerana ianya dibayangi oleh matlamat-matlamat yang lain dalam DPN.
Kerana itulah, tegasnya, Pemuda Umno mahu matlamat serampang dua mata DEB itu dijadikan teras kepada perancangan dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-9 (RM9) yang bermula tahun depan.
Pada masa yang sama, Khairy turut menjelaskan, Pemuda Umno bersetuju agar agenda pembangunan dalam RM9 memberi tumpuan kepada pembangunan semua kaum di negara ini, tetapi dengan keutamaan untuk meneruskan matlamat mencapai ekuiti 30 peratus untuk bumiputera yang digariskan dalam DEB.
Kenapa ekuiti tidak berubah?
Chua bagaimanapun menegaskan bahawa matlamat serampang dua mata itu turut diserapkan dalam DPN kerana beliau sendiri menganggotai kabinet dan terbabit dalam banyak perbincangan dan perancangan kerajaan berhubung pelaksanaan dasar tersebut.
Katanya, apabila DEB berakhir pada tahun 1990, kedudukan ekuiti bumiputera ketika itu ialah 18.7 peratus dan peratusan itu kekal sehingga hari ini.
Persoalannya, tambah Chua, ialah mengapa pencapaian ekuiti kaum bumiputera masih tidak berubah sejak 1990 sedangkan kerajaan telah mencurah banyak bantuan dalam bentuk kewangan dan projek kepada mereka bagi merapatkan jurangnya dengan kaum-kaum yang lain.
Oleh itu, kata Chua, tidak timbul persoalan kerajaan kurang memberi penekanan terhadap usaha mencapai matlamat yang digariskan dalam DEB, tetapi persoalan yang lebih penting ialah mengapa bumiputera masih tersangkut pada kadar 18.7 peratus walaupun mendapat bantuan yang banyak kerajaan.
Kerana itu, tegas Chua, timbul keperluan yang mendesak untuk mengkaji kegagalan tersebut dan mengambil pendekatan yang lebih berkesan, tanpa terlalu menekankan kepada usaha mengembalikan semangat DEB.
Dalam hal ini, Khairy pula menjelaskan, adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa kerajaan telah memberi banyak bantuan kewangan dan projek yang besar untuk membantu bumiputera tetapi mereka masih gagal mencapai matlamat 30 peratus tersebut.
Katanya, ini kerana perbelanjaan yang besar yang dicurahkan oleh kerajaan untuk membantu bumiputera, juga dalam bentuk membangunkan infrastruktur di kawasan luar bandar yang dilihat berjaya mencapai matlamatnya.
Khairy sekali lagi mengulangi pendirian Pemuda Umno bahawa apa yang ditekankan oleh pergerakan tersebut ialah menggesa kerajaan memberi keutamaan secara jelas dalam RM9 untuk meneruskan usaha mencapai matlamat 30 peratus bukan sahaja dalam sektor ekonomi secarda umum, tetapi juga termasuk di segi pemilihan premis dan melahirkan lebih ramai profesional.
Katanya, apa yang mahu dilihat oleh pergerakan itu ialah kedudukan bumiputera, khususnya orang Melayu, setanding dengan kaum-kaum lain apabila Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.
Beliau juga bersetuju dengan saranan Chua berhubung penubuhan jawatankuasa nasional untuk melihat kemajuan semua kaum di negara ini.

