Calon presiden MCA Datuk Chua Jui Meng mencabar penyandang Datuk Seri Ong Ka Ting untuk berdebat secara terbuka bagi membolehkan para perwakilan menilai kemampuan mereka memimpin parti.

"Saya mahu beliau menyertai debat ini bagi memberi peluang kami bercakap mengenai wawasan kami, rancangan dan idea untuk masyarakat yang kami wakili, " kata bekas menteri kesihatan itu.

Chua yang juga naib presiden MCA yang mencabar Ong bagi jawatan tertinggi parti itu berkata debat terbuka berkenaan akan memberikan landasan bagi para perwakilan menilai kemampuan dan prestasi calon sebelum membuat keputusan siapa yang mereka patut undi sebagai pemimpin parti pada pemilihan MCA bulan depan.

Chua memberitahu Bernama hari ini bahawa beliau tidak kisah sama ada debat itu diadakan dalam bahasa Mandarin atau Inggeris kerana mengambil kira beliau dan Ong, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, datang daripada latar belakang pendidikan yang berbeza.

Chua, seorang peguam, berpendidikan Inggeris sementara Ong merupakan guru siswazah yang mendapat pendidikan sekolah Cina.

Chua berkata ini bukan pertama kali beliau menjemput Ong untuk mengadakan debat sejak mengumumkan keputusannya bertanding bagi jawatan presiden.

"Kira-kira seminggu lalu, saya telah membuat jemputan melalui media Cina bagi Ong menyertai satu debat (yang bakal dianjurkan akhbar Oriental Daily) tetapi beliau tidak menjawab pelawaan itu," katanya.

Debat itu kemudian bertukar menjadi satu forum di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi di mana Chua menjadi pemidato jemputan.

"Jika Datuk Seri Ong bersetuju terhadap jemputan ini, kami boleh mengaturkannya," katanya.