Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rizieq tak takut, cuma minta polis usah tangkap
Diterbitkan:  Jun 2, 2017 5:25 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

GLOBAL | Selepas dibayangkan akan pulang segera, Ketua Umum Front Pembela Islam (FPI) mungkin akan berada di Arab Saudi lebih lama.

Terbaru, peguam Rizieq Shihab memberitahu visa dikeluarkan Arab Saudi untuk tokoh itu akan dilanjutkan tempohnya.

Malah kata Eggi Sudjana, Rizeq pernah membayangkan dia tidak akan berdepan sebarang masalah untuk menyambung visanya.

Visa itu sepatutnya luput pada 12 Jun ini.

"Dari segi visa (kalau) habis, (sepatutnya Rizieq) pulang. Tapi Rizieq pernah beritahu pada saya, dia sangat mudah untuk mendapat tempoh lanjutan visa sebab mempunyai akses dengan Raja Saudi," katanya dilapor merdeka.com semalam.

Rizieq - seorang tokoh konservatif yang memimpin FPI - kini dikehendaki polis Indonesia bagi disiasat berhubung kes sembang seks dengan seorang ibu tunggal.

Skandal Rizieq dengan Firza Husein itu terbongkar baru-baru ini apabila salinan sembang WhatsApp didakwa antara kedua-dua mereka terdedah.

Selain perbualan membabitkan hal-hal atas ranjang, gambar bogel wanita itu juga beredar. Polis sudah mengesahkan gambar itu adalah Firza.

Rizieq, 51, meninggalkan Indonesia atas alasan mahu mengerjakan umrah ketika skandal berkenaan semakin menghangat di negara berkenaan.

FPI menganggap tuduhan itu adalah perancangan pihak berkuasa untuk memerangkap Rizieq.

Mahu jaminan presiden

Beberapa hari lalu peguam Rizieq serta sayap pemuda FPI membayangkan tokoh yang memiliki pengaruh besar itu akan pulang tidak lama lagi.

Mereka juga merancang untuk menyambut Rizieq secara besar-besaran.

Eggi yang ditunjuk Rizieq menjadi penyelaras kepada 700 peguam belanya berkata, tokoh itu keberatan pulang bukan disebabkan takut berdepan pihak berkuasa.

"Sebaliknya dia bimbang reaksi penyokong FPI yang marah apabila Rizieq disiasat.

"Sebab itu Rizieq berkata, dia bukan seorang pengecut cuma mahu mengawal reaksi penyokongnya.

"Justeru, jika pihak berkuasa boleh memberi jaminan dia tidak ditangkap, Rizieq akan segera pulang," katanya.

Rizieq juga, kata Eggi, meminta kerajaan membenarkan suatu perhimpunan khas besar-besaran diadakan sempena kepulangannya itu.

"Kita juga minta presiden memberikan jaminan pada Rizieq untuk tidak ditahan. Kami bersedia bekerjasama mengikut undang-undang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS