Simbol Sikh dijumpai di selipar
Gerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (Geraksikh) hari ini membuat laporan polis berhubung apa yang didakwanya isebagai mej Kanda, simbol agama Sikh, yang dijumpai di sepasang selipar.
Setiausaha Agung Geraksikh, Amarjit Singh Gill, yang membuat laporan di balai polis Central Ipoh, berkata beliau terkejut apabila melihat gambar-gambar selipar yang dijual di Alor Setar.
"Saya menggesa pihak polis untuk menyiasat perkara ini dengan teliti di bawah Akta Hasutan 1948 untuk memastikan bahawa mereka yang melakukan perbuatan keji ini dipertanggungjawabkan.
"Ini adalah satu tindakan mempersendakan agama Sikh dan tidak boleh diterima oleh kita terutamanya di Malaysia.
"Kita perlu menghantar mesej yang jelas supaya jangan main-main dengan agama," katanya dalam satu kenyataan.
Amarjit kata pemilik kedai di mana selipar itu dijual juga telah membuat laporan polis dan meminta maaf kerana beliau tidak memahami simbol-simbol berkenaan.
"Dia beritahu dia akan memulangkan selipar itu kepada pengilang yang berpangkalan di Thailand," kata Amarjit.
Amarjit mahu perkara itu disiasat kerana kemungkinan kedai-kedai lain juga menjual selipar berkenaan.

