Gerakan: Lim pegang 14 jawatan, kenapa nak lagi?
Pelantikan Lim Guan Eng sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang menimbulkan kemarahan pembangkang di negeri itu yang mempersoalkan mengapa beliau memegang terlalu banyak jawatan.
Ketua Biro Publisiti Gerakan negeri, Ooi Zhi Yi mempersoalkan sama ada Lim dapat mengendalikan tanggungjawab dengan baik, memandangkan beliau sudah memegang beberapa jawatan dalam pentadbiran negeri.
Ooi menyenaraikan bilangan jawatan yang kini dipegang oleh Lim, termasuk sebagai anggota parlimen Bagan dan ADUN Air Putih.
Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP juga merupakan pengerusi kepada 12 syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Ia adalah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Perbadanan Bukit Bendera, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, PBA Holdings Bhd, Penang Global Tourism, BPO Premier Sdn Bhd, Premier Horizon Ventures Sdn Bhd, Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang, George Town World Heritage Incorporated, Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang dan Lembaga Invest-In Pulau Pinang
"Adakah DAP ikhlas dalam kata-katanya apabila pemimpinnya menyokong pengagihan pentadbiran dan perkongsian kuasa?" Soal Ooi pada sidang media hari ini.
"Ada ramai pemimpin dari DAP dan Pakatan Harapan yang bercakap mengenai kepentingan agihan pentadbiran dan perkongsian kuasa.
"Tetapi, dengan begitu banyak jawatan penting dipegang oleh ketua menteri, ia seolah-olah mereka cakap tak serupa bikin, " kata Ooi.

