Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini tidak dapat menyatakan sama ada dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan disiasat.

"Kita lihat bagaimana kemudian, tindakan bagaimana, saya difahamkan laporan kes telah dibuat di pihak polis, PDRM," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad ketika ditemui di Putrajaya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada suruhanjaya itu akan menyiasat dakwaan yang dibuat oleh laman pembocor maklumat, Sarawak Report.

Laman web itu mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam dua bahagian iaitu pada 11 September 2013 dan pada 17 Februari 2014.

Sarawak Report mendakwa wang tersebut berasal daripada SRC International Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan dakwaan itu kerana Najib dan Shafee masih belum memberikan sebarang maklum balas mereka.

Usaha berulang kali Malaysiakini untuk menghubungi Najib dan Shafee juga tidak berjaya.

PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah membuat laporan polis terhadap Shafee, manakala Majlis Peguam menggesa pihak polis menyiasat perkara itu.

Sementara itu, Dzulkifli dan timbalannya Datuk Azam Baki ditanya mengenai kelewatan dalam siasatan SPRM berhubung kes SRC International.

"SRC kita jawab kemudian. Anything? Itu saja, all right, thank you, terima kasih," katanyai sebelum beredar meninggalkan acara mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di sebuah bazar Ramadan.

Manakala Azam pula ketika ditanya menjawab "Yang itu kena tanya ketua pesuruhjaya."

Pada Januari tahun lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tiada dakwaan dikenakan terhadap Najib berdasarkan siasatan dijalankan SPRM terhadap isu derma RM2.6 bilion dan dana SRC International sebanyak RM42 juta yang masuk ke akaun perdana menteri itu.

Bagaimanapun pada bulan April, beliau menjelaskan bahawa status "NFA" atau "Tiada Tindakan Lanjut" bukan bermakna kes itu telah ditutup.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli menafikan seorang inspektor polis ditemui mati di sebuah balai polis di Kelantan baru-baru ini berada di bawah siasatan SPRM.

"Tiada kaitan langsung sepanjang maklumat yang saya terima. Tiada kaitan langsung dengan apa-apa siasatan SPRM," katanya.

Dilaporkan bahawa mangsa menembak dirinya sendiri. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut tetapi berkata siasatan akan dijalankan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS