Majlis Tertinggi Umno tidak mempengaruhi panel rayuan parti dalam membuat keputusan berhubung rayuan Tan Sri Mohd Isa Samad berhubung penggantungan beliau daripada semua jawatan politiknya kerana didapati terbabit dalam rasuah politik, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad hari ini.

Menurutnya, Mohd Isa telah mengemukakan rayuan kepada Panel Rayuan Umno dan panel itu akan bersidang untuk mendengar kes tersebut.

"Saya tak tahu apa-apa. Saya hanya akan tahu bila keputusan dah dibuat," kata Radzi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada pemberita di Kangar hari ini.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan bahawa Panel Rayuan Umno akan bersidang 3 Ogos ini bagi mendengar lima lagi kes rayuan termasuk yang melibatkan Mohd Isa yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin pada 24 Jun lalu kerana terlibat dalam rasuah politik dalam pemilihan parti sebelum ini, dan digantung jawatan dan keahlian selama enam tahun.

Menurut laporan Bernama, Radzi berkata beliau tidak perlu mengambil tahu tentang bila panel rayuan itu akan bersidang kerana itu bukan tugasnya.

"MT tidak boleh mempengaruhi panel rayuan dalam membuat keputusannya. Kami hanya boleh terima keputusan dan kemudiannya berbincang mengenainya sebelum keputusan muktamad dibuat," katanya.

Mengikut prosedur, Radzi berkata, Panel Rayuan akan mengemukakan keputusan kes itu kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno sebelum dibentangkan kepada MT untuk membuat keputusan muktamad.

Angin kencang

Malam tadi, majlis Ramah Mesra Setiausaha Agung Umno dengan para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) kawasan parlimen Kangar yang berlangsung di restoran terapung Blue Ocean, Kuala Perlis, berjalan tanpa sebarang ucapan kerana hujan lebat dan angin kencang.

Kejadian itu berlaku pada jam 9.15 ketika 200 tetamu sedang menikmati jamuan makan malam.

Radzi, yang juga Anggota Parlimen Kangar, hanya bersalaman dengan tetamu walaupun sebelumnya beliau dijadual berucap.

Sementera itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala lumpur.

Mesyuarat yang bermula pada jam 10 pagi itu antara lain dijangka membincangkan cadangan Pemuda Umno untuk menghidupkan semula semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Cadangan itu yang dikemukakan Pemuda Umno sewaktu Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, menjadi isu hangat apabila beberapa pemimpin BN memberi reaksi yang berbeza mengenai perkara itu.

Pemuda Umno membuat cadangan itu kerana kaum Bumiputera belum mencapai matlamat pemilikan 30 peratus ekuiti dalam ekonomi negara seperti yang ditetapkan DEB semasa ia mula dilaksanakan pada 1970.