Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Calon PM: Zuraida, Nurul Izzah pun layak
Diterbitkan:  Jun 6, 2017 4:41 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Ketika pemimpin pembangkang masih berpolemik mengenai siapakah yang patut menjadi calon perdana menteri jika Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya, Datuk Seri Dr Wan Azizah satu-satunya wanita yang tersenarai.

Bagaimanapun, presiden PKR itu dijangka hanya akan menjadi perdana menteri sementara sehingga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, layak mengambil alih.

Kata Ketua Komunikasi Wanita PKR, Carolyn Chor, terdapat inersia ketara apabila ia datang kepada kesaksamaan gender dalam landskap politik Malaysia.

"Terdapat kecenderungan ketara apabila melibatkan kesaksamaan jantina dalam landskap politik Malaysia.

"Berlaku kelompongan yang tiada sesiapa mahu fikirkan, terutama di kalangan wanita Muslim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menegaskan perlunya rancangan pilihan, Chor menegaskan, kedudukan Dr Wan Azizah sebagai perdana menteri sementara mesti diperkukuhkan dengan melonjakkan agenda wanita ke alaf seterusnya.

Kata Chor, persaingan untuk jawatan perdana menteri daripada HARAPAN masih di sekitar nama besar seperti Anwar, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin (presiden BERSATU) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (timbalan presiden BERSATU).

"Walaupun (Naib Presiden PKR) Rafizi Ramli mahu menjadi sebahagian daripada calon perdana menteri, masih banyak yang perlu dilakukan olehnya bagi mengumpul sokongan akar umbi - sesuatu yang sudah diperolehi (Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Azmin Ali.

"Kekurangan sebenar dalam persaingan ini ialah terhadnya wakil wanita.

"Apa yang negara ini perlukan ialah sejumlah pilihan di kalangan pemimpin wanita yang berwibawa dan berpengaruh untuk meningkatkan dan memberi wajah baru kepada politik di Malaysia," katanya.

Wanita mesti sokong wanita

Menurut Chor, pemimpin wanita seperti ketuanya, Zuraida Kamaruddin, atau Nurul Izzah Anwar (naib presiden merangkap anggota parlimen Lembah Pantai) perlu ditampilkan sebagai calon untuk jawatan perdana menteri yang boleh dipertimbangkan.

"Walaupun ini mungkin tidak realistik ketika ini, pemimpin wanita masih perlu diberi peluang untuk membolehkan pengundi memikirkan cadangan mempunyai seorang wanita sebagai perdana menteri pada masa depan.

"Pada akhirnya, pengundi mempunyai kata putus tetapi menjadi tanggungjawab bagi pakatan politik memberikan pilihan ini kepada pengundi.

"Justeru perlu ada pilihan untuk calon wanita dikemukakan bagi jawatan menteri besar dan ketua menteri," katanya.

Chor berkata, wanita sering mengelak daripada kedudukan memimpin. Disebabkan itu, katanya, kalangan mereka yang berjaya mendaki ke tempat lebih tinggi perlu disokong, terutamanya oleh wanita sendiri.

"Berapa ramai wanita yang sanggup mengorbankan masa bersama keluarga dan matlamat lain semata-mata untuk mengejar keadilan untuk orang ramai?

"Jika HARAPAN mahu berbeza daripada BN, menampilkan wanita sebagai calon perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri pasti menjadi langkah terkedepan yang begitu bermakna.

"Kita perlu kembali memperkasakan wanita untuk mengatasi jurang dalam masyarakat kita," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS