Thailand terus buka Sg Golok untuk lintasan bot
Thailand memutuskan untuk terus membuka tujuh laluan lintasan bot di Sungai Golok di Narathiwat seperti biasa untuk kemudahan pengguna dari Thailand dan Malaysia sepanjang bulan Ramadan.
Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Lt Jen Sansern Kaewkamnerd berkata, tujuh laluan lintas itu akan diletakkan dalam pantauan pihak berkuasa bagi menyekat sebarang aktiviti haram seperti penyeludupan.
"Rakyat kedua-dua negara masih boleh menggunakan laluan bot itu tetapi pemeriksaan (oleh pihak berkuasa) akan dipertingkat bagi menyekat kejadian tidak diingini di kawasan itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, untuk itu Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan di sempadan agar meningkatkan kewaspadaan.
Sansern menjelaskan mengenai laporan berita baru-baru ini tentang demonstrasi sekumpulan penduduk kampung tempatan menentang langkah kerajaan untuk menutup beberapa laluan bot di Sungai Golok kerana bimbang dengan kegiataan penyeludupan di kawasan berkenaan.
Penduduk itu mendakwa langkah itu yang dilaksanakan Jumaat lepas mendatangkan kesan negatif terhadap kehidupan mereka.
Menurut jurucakap itu, dua daripada tujuh laluan lintas itu dibuka oleh kerajaan sementara selebihnya dikendali secara bebas oleh penduduk tempatan.
Minggu lepas, Panglima Tentera Jen Chalermchai Sittisart melawat Narathiwat dan berkata pihak tentera akan meningkatkan kehadiran mereka di sepanjang sempadan bagi menyekat aktiviti haram termasuk penyeludupan manusia, barangan dan senjata.
- Bernama

