Tindakan Trump sekat pengikut Twitter langgar perlembagaan AS
Sebuah institut untuk kebebasan bersuara menghantar surat kepada Presiden Donald Trump menuntut beliau menyahsekat pengguna Twitter tertentu atas alasan bahawa amalan itu melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat.
Akaun Trump @realDonaldTrump baru-baru ini telah menyekat beberapa akaun yang menjawab tweet beliau dengan ulasan yang mengkritik, mengejek atau tidak bersetuju dengan tindakannya. Pengguna Twitter tidak dapat melihat atau menjawab kepada tweet dari akaun yang menyekat mereka.
The Knight First Amendment Institute di Universiti Columbia di New York berkata dalam suratnya bahawa sekatan itu menindas kebebasan bersuara di forum awam yang dilindungi oleh Perlembagaan.
Rumah Putih tidak memberi reaksi kepada permintaan untuk mendapatkan komen. Twitter Inc berkata, ia tiada komen.
Alex Abdo, peguam kanan institut itu, menyamakan Twitter dengan bentuk moden pertemuan 'town hall' atau komen awam bagi cadangan agensi kerajaan, di mana undang-undang AS mengkehendaki layanan saksama untuk bersuara.
Eric Goldman, seorang profesor undang-undang di Universiti Santa Clara yang memfokus kepada undang-undang internet, berkata kes-kes sebelum ini yang membabitkan ahli politik menyekat pengguna di Facebook, menyokong pendirian Knight Institute.
Jika institut itu mahu menyaman, Trump boleh mendakwa yang akaunnya @realDonaldTrump adalah untuk kegunaan peribadi dan berasingan daripada tugas rasminya sebagai presiden, kata Goldman. Tetapi beliau menganggap pembelaan itu sebagai "menggelikan."
Trump juga mempunyai akaun Twitter presiden @POTUS.
Twitter Trump telah menarik perhatian sengit media terhadap komen mengenai agendanya dan serangan ke atas pengkritiknya. Tweet beliau sering ditweet semula puluhan ribu kali, dan boleh membentuk kitaran berita.
Pakar perundangan berkata tweetnya mungkin secara langsung memberi kesan kepada dasar. Satu rangkaian posting mengenai larangan perjalanan beliau boleh menjejaskan pembelaannya di mahkamah.
Surat itu menyatakan Trump atau pembantunya menyekat akaun @AynRandPaulRyan dan @joepabike, masing-masing milik penulis lagu Holly O'Reilly dan pelumba profesional dan penulis Joseph M Papp.
O'Reilly telah disekat pada 28 Mei selepas menghantar klip animasi ringkas mengenai Pope Francis yang kelihatan tidak selesa semasa pertemuan dengan Trump dengan kapsyen, "inilah nampaknya bagaimana seluruh dunia melihat anda", kata surat itu.
Papp mengetahui dia telah disekat pada 4 Jun selepas mengulas tweet Trump dengan tweet yang melabelkan presiden "#fake leader."
Akaun-akaun tersebut adalah dua daripada beberapa yang telah disekat oleh Trump atau pembantunya, kata Abdo.
- Reuters

