Paling Popular
Terkini

ULASAN | Laporan penuh Buletin Utama TV3 semalam dan serangan lewat tulisan bloger Raja Petra Kamaruddin terhadap Tan Sri Isa Samad cukup memberikan signal bahawa Datuk Seri Najib Razak sedang bergulat menyingkirkan pengerusi Felda Global Ventures (FGV) itu.

'Cuti' yang diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Bhd, Datuk Zakaria Arshad - yang dikecam ramai pihak - merupakan sebahagian daripada plot untuk mewujudkan gelombang penolakan terhadap Isa.

Menyedari bahawa Isa bakal menjadi halangan terbesar untuk Najib mengekalkan kemenangan di kawasan-kawasan Felda, gerakan ini lebih mencabar ketika bekas menteri besar Negeri Sembilan itu sendiri berpendirian untuk terus kekal di tempatnya.

Najib yang ketika ini masih dilihat takut-takut, jelas berhati-hati mengambil langkahnya.

Mungkin masih dihantui sejarah silamnya dengan Isa, atau arahan-arahan yang pernah diberikan sewaktu hari-hari awal Isa sebagai pengerusi FGV.

Dalam pertembungan dua 'dinasour' politik ini, pastinya yang terkorban dan akan dikorbankan ialah orang baik-baik dalam Felda.

Dengan restu Najib

Ia tentunya tidak adil kerana pertembungan yang berlaku itu sebenarnya hanya berlingkar pada isu kelangsungan politik Najib dan Isa sahaja. Ia bukan pertikaian untuk kebaikan jangka panjang Felda.

Ya, malang sekali. Suatu pengorbanan dengan cara tidak wajar setelah orang baik-baik ini menabur bakti membangunkan setiap inci tanah-tanah rancangan. Sayang seribu kali sayang.

Melihat cara berpolitik Najib ketika berdepan bekas timbalannya sebelum ini - selagi beliau bergelar perdana menteri - diyakini Isa akan tetap dipaksa angkat kaki.

Ia adalah tentang bagaimana dan bila saja.

Soalnya, setelah Isa berjaya dilengser, siapa pula 'budak suruhan' yang akan diletakkan Najib untuk menjahanamkan Felda?

Tidakkah segala mimpi buruk Felda bermula tatkala hari pertama Najib bersetuju meletakkan proksinya sebagai pengerusi FGV dahulu?

Buat seluruh warga Felda, Isa adalah buah malapetaka setelah akar tunjangnya tidak kita cantas. Najiblah punca utama kepada semua permasalahan yang menimpa Felda hari ini.

Bermula daripada penyenaraian saham FGV sehinggalah skandal melibatkan Peter Sondakh, semua itu tidak akan berlaku tanpa restu Najib.

Nah, kalau benar mahu selamatkan Felda, langkah paling wajar adalah membenamkan Najib pada pilihan raya umum akan datang. Itu sahaja satu-satunya jalan, untuk kita, generasi masa depan Felda.


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional merangkap pengerusi Jawatankuasa Felda Pemuda AMANAH.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS