Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Lantik Shahrir gantikan Isa
Diterbitkan:  Jun 7, 2017 12:07 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Gantikan Tan Sri Isa Samad dengan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) jika kerajaan serius mahu menyelamatkan agensi berkenaan, kata PAS.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dengan mengekalkan Isa di FGV, ia hanya akan menyukarkan Shahrir melaksanakan langkah-langkah memulihkan Felda.

“Ketika rombakan Felda dibuat pada Januari 2017, PAS telah menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan Isa sebagai pengerusi FGV.

“PAS meramalkan Shahrir dan Isa bakal bertembung, dan ini akan menjadi persaingan politik yang tidak perlu di dalam Felda kerana bakal merugikan Felda, khasnya peneroka.

“Mengekalkan Isa di FGV akan menyebabkan Shahrir sukar melaksanakan langkah-langkah memulihkan Felda.

"Sepatutnya Isa perlu dibuang terus daripada Felda,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Nama Isa menjadi perhatian sejak semalam ekoran arahan bercuti diberi kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden FGV, Datuk Zakaria Arshad.

Arahan itu berkuat kuasa serta-merta oleh lembaga pengarah FGV.

Dua kesilapan PM

Memetik laporan bharian.com.my, arahan bercuti itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan berhubung tunggakan bayaran sebuah anak FGV, Safitex, bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd.

New Straits Times pula melaporkan, Zakaria tidak akan berundur dan akan mempertahankan dirinya dengan mendakwa tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Jika mereka mahu keluarkan saya, mereka boleh memecat saya dan saya akan heret perkara ini ke mahkamah," katanya.

Starbiz hari ini melaporkan Zakaria berkata, pemegang saham syarikat itu perlu membuat pilihan antara beliau dan Isa.

Zakaria, dalam surat kepada Isa, menafikan telah melanggar kod tadbir urus korporat dan berkata pembayaran itu diluluskan oleh pendahulunya.

Kata Tuan Ibrahim kebanyakan masalah Felda hari ini berpunca daripada kelemahan FGV dan pengurusan Isa.

“Terbukti keputusan menyenaraikan FGV dan melantik Isa menerajui badan itu adalah dua kesilapan besar perdana menteri yang bakal diingati peneroka sampai bila-bila.

“PAS mencadangkan agar Shahrir dapat dilantik menjadi pemangku pengerusi FGV,” katanya.

Lihat Komen
ADS