Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mencipta sejarah tahun apabila hampir keseluruhan cadangannya dalam usul ekonomi yang dibentangkan Perhimpunan Agung Umno mendapat reaksi segera daripada pihak kementerian terbabit.

Salah satu cadangan dalam usul yang dibawa oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bagi pihak pergerakan tersebut ialah mencadangkan penstrukturan semula Bank Pertanian Malaysia bagi memenuhi matlamat membangunkan sektor tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9).

Dan hari ini, Menteri Pertanian dan Asas Tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan cadangan mengkorporatkan Bank Pertanian Malaysia itu tahun hadapan sejajar dengan pelaksanaan pembangunan RMK9.

Pergerakan itu juga dilihat membuat pendirian yang 'cukup berani' apabila mencadangkan supaya kerajaan menghidupkan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mencapai matlamat 30 peratus penyertaan Bumiputera, yang belum tercapai.

Cadangan itu tidak disenangi oleh pemimpin parti-parti komponan Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum Cina di negara ini, sehingga Khairy yang juga menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi muncul berdebat dengan Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng (foto) melalui rancangan The Exchange di TV3 Jumaat lalu.

Malah, Timbalan Presiden Umno, yang juga Timbalan Perdana, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan tersebut, secara terbuka memuji mutu penyampaian wakil pemuda (Khairy) ketika membentangkan usul tersebut.

Menurut laporan Bernama hari ini, Muhyiddin berkata pengkorporatan itu merupakan langkah pertama penyusunan semula bagi mengukuhkannya sebagai bank utama di negara ini yang menyediakan pembiayaan mutlak untuk projek pertanian.

Ketika mengumumkan perkara itu hari ini, Muhyiddin berkata mengikut cadangan penyusunan semula itu, modal berbayar bank yang kini berjumlah RM50 juta akan dinaikkan.

Pembiayaan sektor pertanian

"Ini adalah langkah yang kita sedang buat sekarang ini. Memang satu daripada perkara yang kita ambil kira daripada segi meningkatkan pengeluaran makanan dan hasil pertanian ialah dari segi (meningkatkan) pembiayaan (dalam) bidang pertanian ini," katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan Seminar Pelan Imbangan Dagangan bagi Industri Pertanian dan Makanan serta Forum Tekno-Biz yang masing-masing berlangsung di Putrajaya hari ini dan esok.

Beliau berkata, kementerian mengambil keputusan itu disebabkan keengganan institusi kewangan atau bank-bank perdagangan yang masih enggan menyediakan pembiayaan kewangan untuk bidang ini.

Beliau berkata, ia ditunjukkan dengan kecilnya jumlah pembiayaan yang disediakan oleh institusi kewangan tempatan untuk membiayai bidang itu dalam tahun lalu.

"Kalau ikut angka tahun 2004, daripada RM500 bilion yang dikeluarkan oleh institusi kewangan untuk membiayai sektor ekonomi, tidak sampai empat peratus untuk bidang pertanian.

"Ini membimbangkan kita, jika tiada pihak yang ingin membiayai bagaimana kita hendak menjalankan projek pertanian," tanya Muhyiddin.

Katanya, masalah mungkin meruncing dihadapi oleh sektor swasta untuk mendapatkan pembiayaan kewangan setelah sektor itu telah dikenal pasti oleh kementerian sebagai pemacu utama dalam menjana projek untuk tempoh pembangunan RMK-9 berakhir dalam 2010.

Perlu kelulusan PM

Kementerian, katanya, menganggarkan dana sebanyak RM26 bilion diperlukan dalam RMK-9 untuk projek pertanian dan pengeluaran bahan makanan, di mana RM20 bilion daripadanya ditampung oleh sektor itu.

Beliau berkata cadangan penyusunan semula BPM diharap mendapat kelulusan dan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan serentak dengan bermulanya RMK-9.

Kata Muhyiddin lagi kementerian akan mendapatkan kelulusan Parlimen untuk meminda Akta Bank Pertanian terutamanya yang merujuk kepada fasal yang berkaitan modal berbayar bank itu.

Kementerian itu kini sedang menyediakan deraf pindaan akta berkenaan, katanya.

Kelulusan daripada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diperlukan untuk menyediakan peruntukan pendahuluan iaitu berbentuk tambahan modal berbayar kepada Bank Pertanian yang sudah diperbadankan nanti, supaya ia dapat beroperasi menawarkan pembiayaan.

Muhyiddin berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan jumlah modal berbayar Bank Pertanian setelah diperbadankan sama ada RM500 juta atau RM1 bilion.

Katanya, fungsi Bank Pertanian akan turut diubah supaya ia mempunyai kapasiti dan pengetahuan menawarkan lebih banyak produk serta skim kewangan berinovatif kepada peminjam.

Bank berkenaan juga katanya akan lebih berfungsi sebagai bank komersial yang lebih menjurus kepada keuntungan.

Ini adalah memandangkan kedudukan bank daripada segi akaun untung ruginya yang tidak berdaya maju berikutan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) bank berkenaan kini adalah tinggi menghampiri 30 peratus.