Msia: Tiada anggota Pulo membolosi sempadan negara ini
Tiada anggota kumpulan pemisah Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo) di Thailand dikesan memasuki negara ini, kata Panglima Dua Divisyen Infantri Malaysia Mej Jen Datuk Amiruddin Mahmud Aladid Khan.
Tiada anggota kumpulan pemisah Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo) di Thailand dikesan memasuki negara ini, kata Panglima Dua Divisyen Infantri Malaysia Mej Jen Datuk Amiruddin Mahmud Aladid Khan.
"Setakat ini, tiada pembolosan berlaku," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Wilayah Satun, Kolonel Seree Wilailuck semalam, yang mendakwa mendapat maklumat ada anggota Pulo menyusup masuk ke Malaysia tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa tempatan.
Seree mengeluarkan kenyataan itu dalam sesi dialog bersama polis Perlis di Ibu Pejabat Polis Satun
Menurut laporan Bernama, Amiruddin berkata pasukan tentera sentiasa menjalin kerjasama penuh dengan agensi kerajaan persekutuan dan tempatan bagi menjamin keselamatan negara.
"Kerjasama antara tentera dan Jabatan Imigresen, polis dan Jabatan Kastam dijalankan sejak ekian lama bagi meningkatkan kawalan keselamatan, terutamanya di sempadan negara," katanya.
Terdahulu, Amiruddin melancarkan Latihan Land Thamal siri ke-11 antara Tentera Darat Malaysia dan Thailand, di Kem Desa Pahlawan, di Kota Bharu hari ini.
Latihan Land Thamal adalah latihan medan melibatkan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan anggota Infantri Rejimen Tentera Diraja Thailand.
Latihan itu, yang akan dijalankan sehingga 9 Ogos ini, bertujuan meningkatkan kerjasama antara tentera Malaysia dan Thailand.
Turut hadir pada pelancaran itu ialah Pemerintah Infantri Kelima, Tentera Diraja Thailand, Mej Jen Kasikorn Kirisri.

