Ucapan ringkas: Sivarasa mohon maaf kepada sultan
Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah setelah meneliti ucapan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memohon maaf atas tindakannya yang berucap di dewan solat Masjid An Nur Kampung Melayu Subang pada 24 Mei lalu.
Katanya, beliau melalui sepucuk surat peribadi kepada baginda memperjelaskan apa yang sebenarnya berlaku sewaktu majlis pemberian sumbangan di masjid berkenaan.
“Dalam surat itu, saya telah menjelaskan kepada Tuanku ucapan ringkas saya bukan satu ceramah atau ucapan politik.
“Walau bagaimanapun, saya telah meneliti titah Tuanku yang diberi pada Jumaat, 2 Jun di Masjid An-Nur Temasya Glenmarie di mana Tuanku telah menjelaskan arahan dan peringatan baginda bahawa mana-mana ahli politik baik beragama Islam mahupun bukan Islam tidak boleh memberi apa-apa ceramah atau ucapan di dalam masjid atau di kawasan masjid.
“Adalah jelas saya telah mengingkari arahan ini dengan ucapan ringkas saya di dalam Masjid An-Nur di Kg Melayu Subang.
“Justeru, di dalam surat saya itu, saya telah memohon maaf kepada Tuanku di atas kesilapan saya ini,” katanya sambil menambah surat itu bertarikh 5 Jun lalu.
Sultan Sharafuddin ketika majlis buka puasa dan perasmian Masjid An Nur Temasya Glenmarie di Shah Alam pada 2 Jun lalu menegaskan, tindakan Sivarasa itu sebagai 'melampau batas'.
Titahnya, baginda melarang anggota politik daripada berceramah atau berucap dalam masjid kerana tidak mahu tindakan itu menjadi punca perpecahan umat Islam.
"Beta telah banyak kali mengingatkan supaya masjid jangan dijadikan tempat untuk berpolitik sama ada oleh orang Islam sendiri atau orang yang bukan Islam.
"Namun teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan - anggota parlimen Subang Sivarasa, you have cross the line! (kamu melampau batas)," kata baginda.
Sivarasa mencetuskan kontroversi apabila beliau hadir di masjid di Subang itu untuk menyampaikan sumbangan RM71,000 bagi diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen berkenaan.
Sambil menafikan dirinya memberi ceramah politik di masjid berkenaan, katanya kehadirannya itu disalahertikan sesetengah pihak.
Menurut Sivarasa sebagai tetamu yang dijemput memberi sepatah dua kata, adalah tidak elok jika beliau menolak undangan itu.

