PM: Agenda baru nasional untuk semua kaum
Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini memutuskan agar apa juga dasar yang akan dilaksanakan kerajaan mesti mengambil kira perpaduan kaum dan memastikan hubungan baik antara kaum dipelihara sepanjang masa demi kestabilan politik.
Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini memutuskan agar apa juga dasar yang akan dilaksanakan kerajaan mesti mengambil kira perpaduan kaum dan memastikan hubungan baik antara kaum dipelihara sepanjang masa demi kestabilan politik.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, usaha juga perlu diambil dalam menghapuskan jurang kemajuan yang masih terdapat antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera.
"Inilah sebaik-baiknya walaupun ia akan ambil masa tapi usaha ke arah itu mesti kita teruskan apabila kita menjayakan rancangan-rancangan kita ini," katanya yang juga Pengerusi BN selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tersebut di di Menara Dato' Onn di Kuala Hari ini.
Abdullah berkata, dalam mesyuarat itu juga, beliau turut menerangkan mengenai beberapa isu yang dibangkitkan dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini termasuk Dasar Ekonomi Baru.
"Ini adalah pandangan yang berkisar pada satu harapan supaya orang Melayu dapat meningkatkan lagi kejayaan mereka," katanya.
Perdana Menteri memberi jaminan agenda baru nsasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) akan memberi perhatian yang adil dan saksama kepada semua kaum.
Katanya, dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat, kerajaan tidak berniat untuk menghalang kemajuan mana-mana kaum termasuk "memberhentikan kemajuan mana-mana pihak hanya untuk menunggu pihak yang lain mencapai kemajuan."
"Ada golongan yang sudah mampu dengan kebolehan mereka sendiri. Mereka tak perlu disuruh tunggu dan golongan ini perlu meneruskan usaha untuk pembangunan," katanya.
Wawasan 2020
Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata, inilah yang akan menjadi komponen yang akan dimasukkan ke dalam RMK9, kata Abdullah.
Menurunyt, pemimpin parti-parti komponen BN juga memberi pandangan mereka mengenai dasar pembangunan khususnya matlamat mencapai Wawasan 2020, dan bersetuju mengenai perlunya usaha dipertingkatkan bagi menjayakan wawasan itu.
"Wawasan 2020 adalah wawasan kita. Kita rasa bertanggungjawab untuk melaksanakannya. Dan kita perlu kekuatan politik untuk capai rancangan akan datang," katanya.
Beliau juga berharap semua kaum dapat membina kekuatan masing-masing untuk menghadapi saingan yang hebat dalam pelbagai bidang pada masa depan, terutama saingan dari negara luar, dan mampu melaksanakan tanggungjawab mereka bagi kemajuan negara.
Katanya, adalah penting untuk memastikan semua kaum bergerak serentak untuk mencapai kemajuan, dan golongan yang selama ini kurang mendapat kemudahan dan pembangunan, perlu diberi perhatian.
"Perlu dipercepatkan pembangunan mereka itu. Golongan ini mesti mengharapkan bantuan-bantuan yang wajar dari kerajaan," katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberi segala dorongan dan daya kekuatan sewajarnya dari semasa ke semasa kepada golongan ini supaya segala agenda pembangunan untuk rakyat dapat dijayakan.
"Kami semua pemimpin BN akan turun ke bawah dan terangkan tentang apa-apa juga perkara berkaitan tentang perbincangan hari ini supaya akan dapat capai kejayaan bersama," katanya.

