Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi Awang dibenar keluar IJN
Diterbitkan:  Jun 7, 2017 9:31 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bosnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) setelah hampir sebulan mendapat rawatan intensif.

"Alhamdulillah, pada hari ini, Abdul Hadi telah dibenarkan keluar dari IJN setelah hampir sebulan mendapat rawatan intensif dari pakar pakar IJN.

"Pihak kami diberi maklum oleh pasukan perubatan IJN bahawa Abdul Hadi masih perlu mendapat rehat yang secukupnya supaya benar benar pulih dari pembedahan yang dialaminya," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan dengan itu, katanya, sebagaimana yang dimaklumkan pada kepimpinan PAS, Abdul Hadi masih belum dapat memenuhi undangan penganjuran program parti dalam tempoh beberapa minggu ini sehingga dimaklumkan sebaliknya nanti.

"Pihak kami mengucapkan setinggi penghargaan pada pihak IJN di atas layanan yang terbaik, ahli dan penyokong serta rakan taulan yang sentiasa berdoa pada Allah SWT agar Abdul Hadi diberikan kesihatan untuk terus memimpin PAS dan ummah," katanya lagi.

Abdul Hadi dimasukkan ke IJN pada 15 Mei lalu dan PAS mengarahkan anggotanya melakukan sembahyang hajat bagi mendoakan sesi rawatan intensif ke atas presiden parti itu berjalan lancar.

PAS juga mengumumkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memangku tugas Abdul Hadi sepanjang proses rawatan itu berlangsung.

Pada 18 Mei lalu, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa melawat Abdul Hadi yang selamat menjalani pembedahan berkenaan.

Perdana menteri meluangkan masa selama kira-kira 15 minit di situ dan sempat bertemu dengan keluarga terdekat Abdul Hadi serta doktor pakar yang merawatnya.

"Sama-sama kita doakan beliau segera sembuh dan dalam perlindungan Allah SWT sentiasa," kata Najib di laman Twitter dan Facebook beliau.

Lihat Komen
ADS