Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS Selangor hari ini menafikan salah satu kawasannya mengeluarkan surat arahan yang meminta agar anggota parti itu menukar alamat masing-masing ke kawasan parlimen Shah Alam.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi, memberitahu bahawa salinan surat itu yang tular - bertajuk Arahan Muhajir ke Parlimen Shah Alam itu sebagai "tidak betul".

Surat muhajir - daripada bahasa Arab bermaksud berpindah - itu didakwa dibuat bagi memastikan kemenangan PAS di parlimen Shah Alam pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Tidak betul. Ada yang spin," kata Sallehen kepada Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Shah Alam yang dihuni majoriti pengundi Melayu pernah menjadi kubu kuat Umno sehinggalah PAS merampasnya melalui Khalid Samad pada 2008 yang mengalahkan Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin dengan majoriti 9,314 undi.

Adik kepada Tan Sri Shahrir Samad itu sekali lagi mengekalkan kerusi berkenaan pada PRU ke-13 menumpaskan Zulkifli Nordin (Umno) dengan majoriti lebih besar, iaitu 10,939 undi.

Bagaimanapun Khalid kini menjadi anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) yang menjadi satu daripada seteru ketat PAS.

PAS sudah mengumumkan untuk menurunkan calonnya di semua kerusi yang pernah mereka tandingi pada PRU ke-13.

Ketika ditanya sama ada surat tersebut benar-benar wujud tetapi telah diubah suai oleh individu tertentu, Sallehen hanya berkata: "Muhajir atas kehendak sendiri. Tidak ada arahan dan paksaan."

Berdasarkan kepada salinan yang dilihat Malaysiakini, surat bertarikh 25 Mei itu ditandatangani oleh Yang Dipertua PAS kawasan Shah Alam.

Surat berkenaan mengeluarkan arahan kepada anggota PAS yang didapati mengundi di luar Shah Alam supaya menukar alamat mereka ke bandar raya ibu negeri Selangor itu.

"Tuan/puan adalah diwajibkan menukar tempat mengundi dari kawasan sekarang kepada mengundi di dalam Parlimen Shah Alam (muhajir).

"Proses muhajir ini adalah amat penting sebagai usaha untuk melebarkan kemenangan PAS bagi Parlimen Shah Alam. Usaha ini juga adalah untuk memastikan sasaran PAS untuk memenangi minima 40 kawasan parlimen dalam PRU 14 adalah sasaran yang boleh dicapai," tulis surat berkenaan.

Lihat Komen
ADS