Dua hari selepas kerajaan menaikkan harga minyak petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik hari ini berkata, kerajaan akan mengumumkan satu struktur baru tarif elektrik tidak lama lagi.

Bagaimanapun, katanya, struktur baru itu tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

"Sebarang struktur yang hendak dilaksanakan, kita akan menjaga kepentingan rakyat berpendapatan rendah yang menggunakan elektrik hanya mencukupi bagi keselesaan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kemahiran, Pembangunan dan Perlindungan hari ini.

"Kita tidak keberatan memberi subsidi kepada rakyat miskin kerana banyak manalah elektrik yang mereka gunakan..sangat sedikit. Tetapi kita telah memberi subsidi kepada pengguna besar yang menggunakan elektrik secara tidak efisien."

Bagaimanapun, beliau tidak menetapkan tarikh tertentu bila struktur baru tarif tersebut akan diumumkan tetapi hanya menyatakan ia akan diumumkan secepat mungkin.

Dr Lim berkata kementeriannya sedang mangkaji cadangan yang telah dibuat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menstruktur semula tarif baru ini.

Menurut laporan Bernama, kenaikan harga minyak di pasaran dunia telah menyebabkan TNB memohon untuk menstruktur semula tarif elektrik. TNB kini menggunakan 65 peratus gas untuk menjana elektrik.

Subsidi Petronas

Kerajaan secara tidak langsung melalui Petronas memberi subsidi harga gas kepada TNB, iaitu kira-kira RM6.40 setiap mmbtu atau RM6 bilion setahun, harga yang begitu rendah berbanding harga pasaran iaitu AS$8 setiap mmbtu.

Harga minyak melambung naik melepasi AS$60 di pasaran dunia.

Dr Lim juga berharap pengguna dapat memanfaatkan penggunaan elektrik secara lebih efisen.

Kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga runcit petrol dan diesel masing-masing 10 sen dan 20 sen seliter berkuatkuasa Ahad lalu.

Dengan itu, harga runcit baru petrol premium (RON 97) di Semenanjung ialah RM1.62 seliter, petrol (RON 92) RM1.58 seliter dan diesel RM1.281 seliter.

Di Sabah dan Sarawak pula, harga runcit baru RON 97 ialah masing-masing RM1.60 dan RM1.61 seliter, RON 92 RM1.58 seliter di kedua-dua negeri, manakala diesel RM1.284 dan RM1.278 sen seliter.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel ialah Mei lalu, juga sebanyak 10 sen dan 20 sen.

Kenaikan itu turut membabitkan harga gas petroleum cecair (LPG) iaitu sebanyak lima sen. Harga baru LPG bagi Semenanjung ialah RM1.45 seliter, sementara bagi Sabah dan Sarawak RM1.53.